Pendakwah Saudi label wanita ‘suku otak’ dilarang terlibat aktiviti agama

Sheikh-Saad-Al-Hajari

RIYADH: Ketua fatwa agama Arab Saudi, Sheikh Saad Al Hajari dilarang daripada menjalankan aktiviti agama selepas mengeluarkan kenyataan mendakwa wanita tidak patut dibenarkan memandu kerana “mereka mempunyai suku daripada otak” mereka.

Sheikh Saad digantung daripada semua aktiviti agama selepas tidak bersetuju wanita dibenarkan memandu dalam ucapan yang disifatkan mengandungi ulasan ‘merendahkan nilai manusia’, lapor stesen penyiar yang memetik jurucakap gabenor Wilayah Asir.

Arab Saudi adalah satu-satunya negara yang melarang wanita memandu di sebalik usaha kerajaan meningkatkan peranan mereka, terutama dalam bidang pekerjaan.

Dalam video yang memperkenalkan beliau sebagai ketua Jabatan Mufti di wilayah selatan Arab Saudi itu, Sheikh Saad ditanya apa yang perlu dilakukan jabatan trafik jika menemui lelaki dengan ‘separuh otak’.

“Wanita tidak sama dengan lelaki dari segi kebijaksaan dan inilah bagaimana wanita diciptakan,” kata beliau.

Beliau menjelaskan disebabkan wanita hanya mempunyai “separuh otak”, maka pihak berkuasa keselamatan jalan raya dan lalu lintas Arab Saudi tidak patut membenarkan mereka memandu.

“Jika lelaki mempunyai separuh otak, adakah mereka akan memperoleh lesen memandu? Tidak.”

Tambahnya, wanita akan kehilangan separuh lagi daripada “separuh otak” mereka menjadi suku apabila mereka keluar membeli-belah.

“Wanita tidak layak memandu kerana mereka hanya mempunyai suku daripada otaknya,” katanya.

Kenyataan Sheikh Saad menerusi video yang kini tersebar di laman sosial sejak Rabu dikatakan dibuat ketika menyampaikan khutbah.

Kenyataan ulamak itu tercetus saat perdebatan mengenai hak wanita untuk memandu sedang memuncak di negara Teluk itu.

Di Arab Saudi, tiada undang-undang rasmi melarang wanita memandu, bagaimanapun kerajaan belum mengeluarkan lesen memandu kepada wanita.

Pandangan itu mencetuskan kemarahan di media sosial yang amat popular di negara itu.

Pengguna Twitter berkongsi video berkenaan, ramai mengecamnya dan membuat jenaka mengenai kenyataan itu dengan ‘hashtag’ dalam bahasa Arab #Al-Hijri_wanita_suku_otak.

Sebahagian pengguna menyiarkan gambar saintis dan pakar akademik wanita popular Arab Saudi sebagai reaksi dan mempersoalkan kelayakan intelektual Sheikh Saad.

Penggantungan tugas beliau seperti diarahkan gabenor, bertujuan menghalang penyebaran pandangan yang mencetuskan kontroversi dan tidak mewakili kepentingan negara, kata jurucakap menurut akaun Twitter rasmi saluran Ekhbariya TV.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/09/22/wanita-tak-patut-memandu-kerana-otak-hanya-suku-kata-ulama-saudi/