Transgender yang dipulau majikan jadi pekerja seks

nisha-1

KUALA LUMPUR: NGO kebajikan golongan transgender, Justice for Sisters, bimbang 50% hingga 60% wanita transeksual di negara ini terjerumus ke dalam industri seks kerana gagal mendapatkan pekerjaan yang baik di tempat lain.

Pengasas bersama Nisha Ayub berkata kebanyakan majikan, termasuk pengendali kilang, enggan mengambil golongan itu bekerja kerana penampilan mereka.

Beliau berkata keadaan itu menyebabkan ramai transgender menjadi pekerja seks untuk mencari hidup, malah ada yang bermula dari usia semuda 17 atau 18 tahun.

Beliau berkata keadaan itu juga mendedahkan mereka kepada keganasan seksual daripada pelanggan mereka.

“Kadang-kadang lelaki kencing dalam beg plastik dan lempar pada pekerja seks,” katanya di wacana mengenai keganasan seksual, anjuran Justice for Sisters di Kampung Attap hari ini.

Beliau berkata transgender juga mengalami kesusahan semasa di sekolah rendah atau universiti selain daripada meghadapi penghinaan daripada anggota keluarga sendiri, sanak saudara dan masyarakat.

“Kami menderita dari muda hingga ke akhir hayat,” katanya.

“Sebaik sahaja kami keluar rumah, lelaki akan berikan nombor telefon atau mahu nombor telefon kami untuk perkhidmatan seks,” katanya, dan menambah pengalaman itu menyebabkan mereka sukar menjalani kehidupan dengan baik.

Nisha berkata kejadian “transphobia” juga meningkat mutakhir ini apabla lebih ramai transgender didera secara fizikal.

Beliau berkata kes seperti itu tidak dilaporkan kerana “ramai merasakan polis tidak akan ambil tindakan”. Beliau berkata terdapat juga laporan kes bunuh.

Pada Februari, seorang transgender Sameera Krishnan ditemui mati dibunuh di Kuantan kerana ditembak dan tubuhnya dirosakkan.

Nisha menyalahkan penularan transphobia kepada pihak berkuasa, dan berkata notis seperti menggambarkan golongan LGBT melanggar undang-undang syariah menyumbang kepada masalah itu.

Beliau berkata tinjauan ke atas keganasan gender yang dimulakan melalui laman Facebook “Malaysian Transwomen” menerima respon daripada 350 individu sehari, mengadu mereka pernah dibuli dalam pelbagai bentuk.

“Angka itu dalam satu hari,” katanya. “Itu tidak patut berlaku. Orang ramai harus hormat dan terima kami.”