Banjir: 2 sekolah di Kedah ditutup esok, 1 di Perlis

banjirJITRA: Sebuah lagi sekolah di Kedah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Hijau di Pokok Sena akan ditutup esok berikutan jalan yang menghubungkan ke sekolah itu dinaiki air akibat banjir kilat.

Penolong Pengarah Kanan (Ketua Unit), Unit Perhubungan dan Pendaftaran, Jabatan Pendidikan Negeri, Abdullah Abdull Manaf berkata ini menjadikan jumlah sekolah yang ditutup esok sebanyak 2, selain SK Seri Banai dekat sini.

“Penutupan ini juga disebabkan SK Bukit Hijau dijadikan pusat pemindahan yang menempatkan 435 mangsa banjir dan ia dijangka semakin meningkat,” katanya menerusi kenyataan.

Bagaimanapun katanya tempoh penutupan kedua-dua sekolah berkenaan bergantung kepada keadaan cuaca semasa.

Di Kota Setar, antara sekolah yang dijadikan pusat pemindahan ialah SK Alor Mengkudu, SK Gunung, SK Bukit Hijau, SK Bukit Pinang, SK Titi Gajah manakala di daerah Kubang Pasu melibatkan SMK Seri Mahawangsa, SK Jitra dan SK Kodiang Lama.

Dalam pada itu, Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Indera Kangar akan ditutup sehari esok  dan diberikan cuti berganti berikutan banjir yang melanda  Perlis.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Perlis (JPNP), Izmi Ismail berkata, sekolah itu ditutup berikutan air memasuki kawasan sekolah.

“Aspek keselamatan murid-murid ini menjadi keutamaan dan kita tidak mahu berlaku perkara yang tidak diingini berlaku”, kata Izmi ketika ditemui pemberita selepas meninjau keadaan sekolah itu.

Izmi berkata, beliau menjemput para guru sekolah ini termasuk ibu bapa untuk sama-sama datang ke sekolah pada esok hari untuk turut membantu membersihkan kawasan dan kelas-kelas yang digunakan semasa banjir ini.

Dalam pada itu, beliau juga telah memaklumkan kepada pengetua dan guru besar sekolah seluruh negeri  Perlis ini untuk memberikan bantuan kepada para pelajar dan murid yang terjejas banjir.

Selain itu, bantuan pakaian dan alat tulis pelajar dan murid yang terjejas akibat banjir akan diberikan, kata Izmi.

Dalam kenyataan JPNP semalam, pihaknya juga memberi kelonggaran kepada para pelajar dan murid yang  terjejas akibat banjir untuk datang ke sekolah dengan berpakaian biasa.

“Jangan jadikan tiada pakaian ini sebagai alasan untuk tidak ke sekolah”, kata Izmi.