‘Dosa’ tertentu serah pada Allah, kata sarjana Turki

Mustafa-Akyol2KUALA LUMPUR: Sarjana Turki Mustafa Akyol hari ini berkata ada perbezaan antara jenayah dan dosa dalam Al-Quran, dan berkata hukuman di bawah undang-undang syariah hanya meliputi tindakan yang menyebabkan kecederaan pada pihak ketiga.

“Dalam Al-Quran, ada 5 hudud: curi, bunuh, zina, tuduhan zina palsu dan fitnah,” katanya pada forum anjuran Islamic Renaissance Front (IRF) hari ini.

Mustafa berkata Al-Quran tidak menyatakan hukuman ke atas mereka yang mengambil alkohol atau orang Islam yang tidak bersembahyang.

“Masyarakat Islam perlu membezakan antara jenayah dan dosa, di mana dosa itu hanya antara kamu dan Tuhan.

“Saya sebagai seorang Islam percaya dosa bukan urusan kerajaan. Kamu boleh dan patut menasihatkan orang Islam yang melakukan dosa tetapi kamu tidak harus menghukum mereka.”

Mustafa mengkritik negara Islam yang mengenakan undang-undang berdasarkan kepada tafsiran Islam tertentu.

“Ada banyak tafsiran berbeza dalam tradisi Islam dan tiada siapa pun boleh mendakwa tafsirannya kebenaran mutlak,” katanya.

“Ahli Sunnah Wal Jamaah harus dibenarkan hidup sebagai pengikut ajaran sunnah di Iran dan pengikut Syiah harus dibenarkan hidup sebagai Syiah,” katanya, dipercayai merujuk kepada dakwaaan kerajaan Islam menindas kumpulan Islam minoriti.