Najib pertahan keputusan lantik Subromaniam KP Kastam

najib-razak-mic-perhimpunanKUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak mempertahankan keputusan melantik Datuk T. Subromaniam sebagai ketua pengarah Jabatan Kastam kerana beliau merupakan “pegawai kanan paling berkelayakan” di agensi itu

“Saya berpegang kepada asas saya dalam melantik Subromaniam walaupun menerima petisyen menentang (keputusan itu),” kata perdana menteri ketika beucap merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan MIC hari ini.

Najib berkata, beliau juga berdiri teguh dengan keputusan itu kerana perlu berlaku adil di mana Subromaniam, orang yang paling kanan dan paling berkelayakan, dilantik ke jawatan itu.

Subromaniam, 58, mengambil alih daripada Datuk Seri Khazali Ahmad pada 24 Mac tahun ini. Beliau sebelum itu merupakan timbalan ketua pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan).

Beliau telah berkhidmat selama lebih dari 33 tahun, bermula sebagai pegawai penguat kuasa Kastam pada 29 Julai 1984.

Terdapat kontroversi mengenai pelantikan Subromaniam pada awal tahun ini apabila surat, yang didakwa dari Pertubuhan Kemanusiaan Antarabangsa Malaysia (MHO), diedarkan secara online, mendakwa organisasi bukan kerajaan telah cuba melobi Yang di-Pertuan Agong agar orang Melayu dilantik sebagai ketua pengarah Kastam.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung MHO, Hishamuddin Hashim menafikan menghantar memorandum tersebut.