Ramai rakyat Sabah, Sarawak tidak gembira, kata Dr M

mahathir-sabahsarawakPETALING JAYA: Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad memberi jaminan kepada rakyat Sabah dan Sarawak bahawa beliau akan mengkaji ketidakpuasan hati mereka mengenai status negeri mereka dalam Persekutuan Malaysia.

“Ramai orang tidak gembira. Kita perlu kaji ketidakpuasan hati mereka mengenai Perjanjian Malaysia 1963.

“Kita perlu kaji semua. 16 perkara di Sarawak dan 20 perkara di Sabah,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Sarawak yang disiarkan secara langsung melalui Facebook.

Dr Mahathir sedang mengadakan lawatan ke Sarawak dan dijangka memberi ucapan malam ini.

Beliau menambah PH akan menyediakan manifesto khas untuk Sabah dan Sarawak dan mengkaji ketidakpuasan hati rakyat di kedua-dua negeri itu dan mencari penyelesaiannya.

“Mereka mahu diberi kawalan ke atas produk petroleum, pendidikan dan sebagainya. Kita akan kaji. Kita akan tengok dengan fikiran terbuka,” katanya memberi jaminan.

Dr Mahathir pada sidang media itu juga berkata gabungan pembangkang berharap dalam memenangi jumlah kerusi yang banyak pada pilihan raya akan datang.

Ditanya bilangan kerusi yang Pakatan Harapan harap dapat menang pada pilihan raya akan datang, Dr Mahathir berkata cukup untuk membentuk kerajaan.

Bekas perdana menteri itu juga mahu bertemu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB), yang dikatakan sebuah parti BN yang kuat di negeri itu.

“Saya mahu bercakap dengan mereka sama ada mereka suka bercakap dengan saya atau tidak.

“Semua orang macam malu-malu sekarang ini. Dulu bila saya datang mereka datang melawat saya tetapi sekarang sedikit terkawal,” katanya.

Dr Mahathir berkata demikian apabila ditanya sama ada beliau akan menarik PBB untuk memenangi lebih banyak kerusi Parlimen di Sarawak.