Sedia lebih banyak tempat untuk kaum India di IPTA

india-studentKUALA LUMPUR: Masyarakat India meminta kerajaan memperuntukkan lebih banyak tempat di universiti awam untuk pelajar kaum India, kata Pensyarah Jabatan Pengajian India Universiti Malaya Prof M Rajantheran.

Beliau berkata sistem kuota yang dilaksanakan di universiti awam menghalang kemajuan pendidikan masyarakat India.

“Kami mahu kerajaan menimbang semula dan memberi ruang kepada pelajar kaum India di universiti awam. Sekiranya ada 100 tempat disediakan, berikan terbaik 10 tempat kepada pelajar kaum India berdasarkan merit,” kata beliau pada forum Transformasi Nasional (TN50) dengan belia-belia dari kalangan kaum India di Universiti Malaya di sini hari ini.

Rajantheran berkata pelajar kaum India berusaha untuk melakar pencapaian terbaik tetapi apabila mereka tidak dapat memasuki universiti awam, atau terpaksa belajar sesuatu yang mereka tidak berminat, ia akan menyebabkan mereka jauh ketinggalan.

“Ini akan mewujudkan masyarakat yang yang tidak bekerja dan mempunyai harga diri yang rendah. Impian mereka untuk menjadi doktor atau peguam musnah,” kata beliau.

Sementara itu, Presiden Makkal Sakti Datuk Seri R.S Thanenthiran bersetuju sambil menyatakan pelajar yang gagal memasuki universiti awam walaupun mendapat gred atau pointer 4.00 (4 flat) akan menyebabkan mereka kurang motivasi.

“Kebanyakan belia kaum India berasal dari keluarga miskin dan mereka tidak mempunyai wang untuk melanjutkan pengajian di universitri swasta. Jika tidak dapat memberi tempat kepada mereka, mungkin kerajaan dapat membantu dengan menyediakan lebih banyak biasiswa,” kata beliau.

Terdahulu, kira-kira belia kaum India menghadiri sesi keterlibatan TN50 dengan belia-belia kaum India dan ini ali pertama sesi diadakan dalam bahasa Tamil.

TN50 merupakan inisiatif untuk merancang masa depan Malaysia dalam tempoh 2020 hingga 2050 yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak awal tahun ini.