Sukan Para ASEAN: Malaysia kutip 90 emas, PM ucap tahniah

najib-sukan-sea-paralimpikKUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua atlet negara pada temasya Sukan Para ASEAN (APG) Kuala Lumpur 2017 atas kesungguhan dan semangat juang yang ditunjukkan dalam sukan dwitahunan itu yang melabuhkan tirainya malam tadi.

“Kita semua dapat melihat betapa kesungguhan dan semangat juang para atlet negara tiada tolok bandingnya. Anda semua #Kebanggaanku, syabas dan tahniah ! #APG2017,” katanya menerusi catatan di laman Twitter dan Facebooknya.

Beliau berkata perjalanan atlet negara dalam meraih kejayaan sememangnya tidak mudah tetapi mereka berjaya menempuhinya dengan penuh kecekalan, kegigihan dan keazaman.

“Hari ini, usaha itu terbalas dengan kejayaan 259 pingat, untuk diri sendiri, untuk negara dan untuk rakyat Malaysia,” katanya.

APG Kuala Lumpur 2017 melabuhkan tirainya dengan meriah dan bergaya apabila Malaysia menampilkan pencapaian terbaik sebagai naib juara pada acara sukan itu dalam masa 8 tahun dengan merangkul 259 pingat membabitkan 90 emas, 85 perak dan 84 gangsa.