Tian Chua: Tindakan Sarawak halang pemimpin Pakatan tidak masuk akal

tian-chua-1PETALING JAYA: Naib Presiden PKR, Tian Chua mengecam kerajaan Sarawak kerana melarang 3 wakil rakyat parti itu di Semenanjung Malaysia daripada memasuki negeri itu.

Mengulas langkah itu sebagai “tidak masuk akal”, beliau mempersoalkan rasional larangan itu, dengan menegaskan Zuraida Kamaruddin dan Hee Loy Sian, masing-masing Ahli Parlimen Ampang dan Petaling Jaya Selatan, dan Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Sepetang, Chua Yee Ling berhak mewakili kepentingan orang ramai.

“Ia menyalahgunakan proses imigresen. Bagaimana kita boleh dinafikan kemasukan (ke Sarawak)? Kami mewakili rakyat,” kata beliau sambil menegaskan, wakil rakyat tidak membahayakan negara.

“Apakah ancaman keselamatan yang kita bawa kepada Sarawak? Tidak ada justifikasi,” kata beliau yang juga Ahli Parlimen Batu, semalam.

Beliau berkata, walaupun Sarawak mempunyai autonomi mengenai aspek imigresen, ia adalah untuk melindungi kebajikan dan keselamatan rakyatnya, dan tidak boleh digunakan untuk menghalang ahli-ahli politik pembangkang yang mempunyai pendapat yang berbeza dari kepimpinan negeri.

Ketiga-tiga mereka telah terbang ke Sarawak semalam untuk mengambil bahagian dalam perhimpunan yang dijadualkan di Kuching petang ini, anjuran Pakatan Harapan (PH) dan antara lain bakal memaparkan pengerusinya Tun Dr Mahathir Mohamad, pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang dan Pengarah Pilihan Raya Amanah Hatta Ramli.

Dr Mahathir, yang juga pengerusi PPBM, dijadual menyampaikan ucapan pertamanya di Sarawak sejak keluar Umno pada tahun 2015 dan mengasaskan PPBM September tahun lepas.

Sementara itu, Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar, yang juga Naib Presiden PKR menerusi akaun twitter berkata, beliau kemungkinan tidak akan pergi ke Sarawak seperti yang dirancang.

Dengan mengatakan beliau juga kemungkinan akan dihalang daripada memasuki negeri itu, Nurul Izzah berkata, semangat dan kasih sayangnya adalah dengan aktivis pembangkang di Sarawak.

Menurut The Star, Ketua Menteri Sarawak Datuk Abang Johari Openg sebelum ini memberi jaminan Dr Mahathir, Kit Siang dan Hatta tidak akan dihalang daripada memasuki negeri itu.

Bagaimanapun, Abang Johari berkata kerajaan negeri akan menghentikan mana-mana ahli politik yang dianggap sebagai ancaman.

Beliau memberitahu, atas alasan yang sama Ketua Umno Sungai Besar Datuk Jamal Md Yunos dan Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali dilarang memasuki Sarawak.