Azmin hanya main politik, Noh yakin 3 bekas MB Selangor mampu tarik sokongan

noh-azminSHAH ALAM: Kewibawaan 3 bekas menteri besar Selangor berupaya menarik kembali sokongan rakyat kepada Barisan Nasional (BN), kata Tan Sri Noh Omar.

Noh berkata, pentadbiran Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tidak membawa sebarang pembaharuan di Selangor sebaliknya hanya lebih berpolitik.

“Mereka pernah menjadi menteri besar dan tahu keadaan zaman mereka menjadi menteri besar.

“Pada zaman Azmin, kita lihat beliau lebih banyak berpolitik dan tidak nampak pembangunan yang dibawanya,” kata Noh, ketika lawatannya ke Rumah Pangsa Subang Perdana 3, di sini.

Beliau berkata, rakyat mampu melihat dan membuat perbandingan mengenai pembangunan bawah 3 menteri besar sebelum ini berbanding pentadbiran Azmin.

Noh yang juga pengerusi perhubungan Umno Selangor sebelum ini berkata, Tan Sri Muhamad Muhamad Taib, Tan Sri Abu Hassan Omar dan Dr Mohd Khir Toyo akan memastikan BN dapat menawan kembali negeri tersebut pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Apabila Azmin ke China, beliau kata beliau berjaya tarik pelaburan, tapi bila kerajaan Persekutuan tarik pelabur China beliau kata kita jual negara,” kata Noh.

Noh berkata, kejayaan pelaburan di Selangor atas inisiatif kerajaan pusat yang menyediakan prasarana mesra pelabur, bukan atas usaha kerajaan negeri.