Didakwa benar pesta bir, Azmin ancam saman Utusan

Azmin-Ali-utusan-malaysia-saman-1PETALING JAYA: Menteri Besar Datuk Seri Azmin Ali akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Utusan Malaysia di atas muka depan akhbar itu mendakwa beliau benar pesta arak di Selangor.

“Kami mencabar Utusan Malaysia mengemukakan bukti Azmin mengeluarkan dakwaan sedemikian,” kata Pengarah Komunikasi Strategik Pejabat Menteri Besar Selangor Yin Shao Loong dalam kenyataan.

Menurutnya, Azmin yang kini dalam rangka kerja rasmi pelaburan ke India mengarahkan peguam mengeluarkan notis tuntutan undang-undang terhadap Utusan.

“Beliau menuntut penarikan tanpa syarat, permohonan maaf secara terbuka dan ganti rugi daripada Utusan,” katanya.

Muka depan Utusan hari ini membawa tajuk “Azmin benar pesta arak”, dengan laporan penuh di muka 4 akhbar itu pula membawa tajuk “Azmin tidak kisah pesta arak di Selangor”.

Laporan muka 4 itu mendakwa pentadbirannya tidak akan menghalang jika pesta arak Festival “Better Beer” 2017 mahu diadakan di Selangor selepas pesta itu tidak dibenarkan diadakan di Kuala Lumpur.

“Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ini sejajar dengan prinsip yang dipegang oleh kerajaan Selangor iaitu menghormati hak kaum dan agama lain,” kata laporan itu, dan menambah “penganjur pesta arak itu perlulah mematuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa negeri atau pihak berkuasa tempatan”.

Yin berkata pendirian menteri besar ialah sebarang keputusan mengenai penganjuran pesta bir terletak di bawah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan dan mesti menurut semua peraturan undang-undang.

“Beliau tidak akan mendahului pihak berkuasa tempatan dalam perkara itu,” jelasnya.