Ibu kematian 3 anak dalam tragedi tahfiz redha, tak saman

Mashawani-Mohamed-Shahid-tahfiz-darul-quran-1
Mashawani Mohamed Shahid yang kehilangan 3 anak lelakinya dalam kebakaran di pusat tahfiz ketika menerima kunjungan wakil DAP dan Amanah di rumahnya.

AMPANG: Seorang ibu tunggal yang kehilangan 3 anaknya dalam kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah 2 minggu lalu enggan mengambil sebarang tindakan terhadap pihak pengurusan pusat itu, sebaliknya berkata beliau redha dengan apa yang berlaku.

Mashawani Mohamed Shahid, 37, berkata sebarang tindakan yang dilakukannya sekarang tidak akan mengembalikan anak-anaknya yang terkorban dalam kebakaran pada 14 Sept yang meragut 23 nyawa kebanyakannya pelajar itu.

“Kita tidak dapat kembalikan anak-anak saya yang sudah pergi,” katanya di rumahnya di sini, ketika diziarahi rombongan dari DAP dan Amanah untuk memberikan sumbangan.

Mashawani, seorang peniaga sambilan, berkata beliau tidak merancang mengambil tindakan undang-undang dan tidak menyalahkan sesiapa.

Mashawani kehilangan Muhammad Syafiq Haikal, 13, Muhammad Hafiz Iskandar, 12, dan Muhammad Harris Ikhwan 10 dalam insiden tersebut.

Bagaimanapun, beliau berharap suspek yang terlibat membakar pusat pengajian Islam itu dikenakan tindakan setimpal.

“Keputusan untuk mereka saya terima, cuma saya mengharapkan agar diberi hukuman yang setimpal kepada mereka,” katanya.

Polis sedang mereman 7 suspek remaja berusia antara 11 dan 17 tahun dan menganggap penangkapan itu sudah cukup untuk merungkai apa yang berlaku dalam tragedi terburuk melanda sebuah madrasah sejak 2 dekad.

Pihak berkuasa juga sebelum ini mengesahkan bangunan sementara yang menempatkan kanak-kanak malang itu didapati tidak mematuhi piawai keselamatan.

Mashawani berharap pihak berkuasa mengambil langkah berjaga-jaga memperbaiki kelemahan dalam institusi pendidikan.

“Saya sudah tidak boleh buat apa-apa, anak-anak saya sudah tiada. Pihak berkuasa perlu ambil tindakan sebab sebelum ini memang ada kes, bukan ini sahaja,” katanya.

Menurut statistik, sejak 2 tahun lepas, sebanyak 211 kes kebakaran berlaku melibatkan sekolah tahfiz di seluruh negara.

Sementara itu, Mashawani berkata beliau tidak pernah dihubungi keluarga 7 suspek yang terlibat.

“Tak perlulah saya jumpa keluarga mereka.

“Hidup mesti diteruskan, anak-anak pasti tidak mahu melihat mama mereka sedih,” katanya, yang mempunyai 2 lagi anak lelaki dan seorang anak perempuan.