Kebakaran tahfiz: Kenapa bangunan MAIWP langgar spesifikasi, soal PH

Zulhazmi-Shariff_MAIWP_bakar_600AMPANG: Pakatan Harapan (PH) menggesa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menjelaskan kenapa bangunan miliknya di Jalan Keramat Hujung yang menempatkan Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, tidak mematuhi spesifikasi ditetapkan pihak berkuasa.

Ahli DAP, Zulhazmi Shariff berkata, MAIWP juga perlu bertanggungjawab kerana mereka ialah pemilik bangunan 3 tingkat itu yang terbakar pada 14 September lalu sehingga mengorbankan 23 pelajar serta guru sekolah tahfiz itu.

“Bangunan ini bangunan Majlis Agama Islam (Wilayah Persekutuan). Sebagai agensi kerajaan, mereka lebih tahu soal keselamatan. Macam mana MAIWP boleh bina bangunan yang tidak ikut spesifikasi.

“Bangunan wakaf dibuat tanpa ikut peraturan…MAIWP harus bertanggungjawab.

“Apabila akibatkan kehilangan nyawa, selain pusat tahfiz, pemilik bangunan yang harus bertanggungjawab kerana pusat tahfiz hanya menumpang,” katanya selepas rombongan DAP dan Amanah menziarahi Mashawani Mohamed Shahid, 37, yang kehilangan 3 anak lelakinya dalam kebakaran itu, hari ini.

Beliau berkata, ahli Parlimen PH akan mengemukakan usul di Parlimen untuk mendapatkan respons Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berhubung perkara itu.

Sementara itu, Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng berkata, ahli Parlimen PH akan membangkitkan isu keselamatan sekolah dan penyalahgunaan dadah dalam kalangan pelajar pada sidang Dewan Rakyat, bulan depan.

“Kalau budak-budak mampu membeli dadah, dari mana duit itu datang,” katanya merujuk ujian air kencing 6 daripada 7 suspek remaja dalam kes kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang positif dadah jenis ganja.

“Ada kemungkinan budak-budak ini digunakan sindiket dadah,” katanya.

Reman 7 suspek lelaki berusia 11 hingga 18 tahun itu, yang disyaki bertanggungjawab ke atas kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, dilanjutkan sehingga 29 September ini.

Mereka disiasat atas dakwaan membunuh dan sengaja mencetuskan kebakaran.

Seramai 21 pelajar lelaki berusia 6 hingga 17 tahun dan 2 guru berusia 25 serta 26 tahun terkorban dalam kebakaran jam 5.15 pagi, 14 September lalu.

Tujuh mangsa termasuk 6 pelajar sekolah tahfiz itu turut cedera dalam tragedi berkenaan.