KPKT tubuh ‘task force’ siasat penipuan skim rumah mampu milik

noh-omar_rumah_600SHAH ALAM: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan bekerjasama dengan polis dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) bagi membanteras kontraktor yang menipu pelanggan dengan skim perumahan mampu milik.

Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, pihaknya sudah mengenal pasti 2 syarikat yang terlibat dengan skim penipuan tersebut dan mangsa boleh tampil bagi membantu jawatankuasa tersebut membuat siasatan.

“Satu ‘task force’ atau jawatankuasa khas ditubuhkan secara bersama dengan polis, KPDNKK serta jabatan berkaitan. Saya nak minta kepada mereka yang didakwa tertipu tampil ke depan untuk beri maklumat kepada ‘task force’ yang ditubuhkan ini,” katanya ketika lawatannya ke Rumah Pangsa Subang Perdana 3 hari ini.

Beliau berkata, syarikat berkenaan juga tidak mempunyai kelulusan daripada kementeriannya untuk beroperasi.

“Ada ramai rakyat tertipu dengan skim perumahan mampu milik dan saya sedang mengumpul maklumat ini. KPKT memandang serius dakwaan ada syarikat tertentu yang mengambil kesempatan untuk menipu rakyat.

“Syarikat ini sebenarnya tidak mendapat kelulusan daripada KPKT dan tidak tertakluk di bawah Akta 118,” kata ahli Parlimen Tanjung Karang itu merujuk Akta Pemaju Perumahan (Kawalan dan Perlesenan) 1996.

Beliau berkata, walaupun kerajaan berusaha menyediakan rumah mampu milik kepada rakyat, syarikat berkenaan seharusnya mematuhi undang-undang dan peraturan yang diperlukan.

“Mungkin syarikat itu dibuat oleh kontraktor dan bukan pemaju tetapi oleh kerana ia ada kaitan dengan isu perumahan rakyat jadi tanggungjawab KPKT untuk siasat perkara ini,” kata Noh.

Mangsa katanya, perlu menyerahkan dokumen perjanjian yang dibuat dengan syarikat terbabit dan pihak berkuasa akan meneliti sama ada tindakan yang dikenakan berbentuk jenayah ataupun kesalahan sivil.

“Kita tidak mahu dalam usaha kita nak beri rumah mampu milik ada pihak yang ambil kesempatan dan akhirnya merugikan rakyat.

“Kita galakkan mana-mana pihak swasta yang ingin bantu kerajaan sediakan rumah mampu milik tapi perlu patuhi undang-undang sedia ada,” kata Noh lagi.

Sebelum ini, Noh berkata skim perumahan DBI Properties yang dimiliki pelakon Datuk Boy Iman tidak melindungi hak pembeli dan urusan penjualannya juga tidak terjamin.

Skim perumahan itu sebelum ini dikatakan mendapat pengiktirafan Noh selepas beliau dilihat menghadiri majlis yang dianjurkan oleh pelakon tersebut pada Hari Raya lalu dan turut memberi ucapan pada majlis berkenaan.

Noh dalam kenyataannya minggu lalu bagaimanapun berkata beliau amat terkejut kerana dikaitkan dengan skim perumahan tersebut.

Beliau berkata video yang tersebar semasa kehadirannya pada majlis jamuan Hari Raya anjuran Boy Iman itu bukan program rasmi.

“Sebelum balik saya telah diminta oleh Boy Iman untuk merasmikan ibu pejabat DBI Properties dan diminta untuk memberi ucapan,” kata Noh memetik laman Facebook miliknya.