Laman web cari jodoh Islam di Indonesia dituduh terlibat pelacuran

nikah-siri-indonesia-webPETALING JAYA: Pemilik sebuah laman web di Indonesia ditahan kerana didakwa menjalankan aktiviti pelacuran di sebalik laman web mencari jodoh Islam menggunakan slogan “mengubah zina menjadi ibadah”.

Pengarah Unit Jenayah Khas Polis Jakarta, Adi Derian dipetik Jakarta Post berkata, Aris Wahyudi yang ditahan semalam, didakwa di bawah Undang-undang Transaksi dan Maklumat Elektronik serta Undang-undang Pornografi.

Katanya, suspek berjaya mengaut Rp5 juta (RM1,576.66) melalui nikahsirri.com yang mula beroperasi Selasa lalu dan kini disekat kerajaan.

“Laman web itu memberi perkhidmatan nikah siri (berkahwin secara diam-diam mengikut rukun dan syarat nikah, tetapi tidak berdaftar dengan pihak berkuasa) dengan menawarkan anak muda dara untuk bayaran tertentu,” katanya pada Ahad.

Adi berkata, mereka yang ingin menjadi ahli perlu membayar yuran pendaftaran Rp100,000 (RM31.53) sebelum dibenarkan memilih pasangan.

“Laman web itu menggunakan sistem syiling, di mana setiap pengantin lelaki atau perempuan ditentukan dengan jumlah syiling berbeza. Setiap syiling bernilai Rp100,000.”

Setakat ini, katanya, terdapat 2,700 orang berdaftar di laman web itu, dengan 300 lagi memohon menjadi “pasangan” termasuk sebagai pengantin lelaki atau perempuan, wali dan saksi.

Beliau berkata, polis sedang menyiasat jika laman web itu ada kaitan dengan rangkaian pemerdagangan manusia, memandangkan sesetengah “pasangan” terbabit di bawah umur.