Mara akan buat promosi besar, tingkat jualan di Mara Digital Mall

mara-digital-promosi-lowyatPETALING JAYA: Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan melakukan promosi besar-besaran bagi meningkatkan perniagaan usahawan Bumiputera di Mara Digital Mall, susulan laporan kejatuhan jualan dan jumlah pelanggan di pusat teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) berkenaan.

“Mulai Oktober 2017, promosi Mara Digital Mall akan diadakan besar-besaran termasuk menggunakan LED billboard, institusi pendidikan Mara, universiti tempatan dan juga pemasangan bunting di sekitar Kuala Lumpur.

“Terdapat pelbagai program anjuran syarikat pengeluar barangan IT turut akan diadakan di Mara Digital Mall, contohnya Oppo Fair dan Acer Roadshow yang akan diadakan tahun ini,” kata Ketua Pengarah Mara, Datuk Azhar Abdul Manaf dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, lebih sejuta pengunjung dengan lebih RM18 juta jualan dicatatkan Mara Digital Mall di Kuala Lumpur tahun lalu dan setakat Ogos tahun ini, ia merekodkan 585,580 pengunjung dengan jualan melebihi RM7.6 juta.

Katanya, operasi di ibu negara akan diperluaskan dengan pembukaan tingkat 4 Menara Mara bagi menampung pertambahan pengunjung.

Khamis lalu, The Malaysian Reserve memetik peniaga di Mara Digital Mall Kuala Lumpur merungut kejatuhan dalam jualan dan jumlah pelanggan kerana kurang publisiti serta kepelbagaian produk, selain produk dijual 10% hingga 12% lebih mahal daripada Plaza Low Yat.

Mara Digital Mall yang khusus untuk peniaga Bumiputera-Melayu, dilancarkan pada 8 Disember 2015.

Pada awalnya, ia disasarkan menjadi pesaing Plaza Low Yat, ekoran pertelingkahan yang berlaku di Plaza Low Yat pada Julai 2015, apabila seorang pemuda didakwa mencuri telefon pintar Lenovo bernilai RM800 daripada sebuah kedai.

Azhar menggesa pihak yang melemparkan pelbagai dakwaan mengenai Mara Digital Mall untuk melihat sendiri perbezaannya.

“Kita menjual produk asli dengan harga yang benar-benar kompetitif, Mara Digital Mall tidak menjual produk klon atau barangan tidak berkualiti. Ini merupakan perbezaan ketara antara Mara Digital Mall dan pusat ICT lain.

“Pelanggan juga akan dilayan secara profesional oleh peniaga, tiada unsur paksaan atau penipuan di sini,” katanya sambil menambah jenama terkenal di dunia menaruh kepercayaan terhadap Mara Digital Mall dengan memasarkan produk mereka di pusat ICT itu.

2 tahun berlalu, Mara Digital Mall mula hilang pelanggan