PBB mahu guna animasi wirawati berpurdah lawan ekstremisme

Burka-AvengerKUALA LUMPUR: Wirawati itu sudah menambat hati penonton merentasi Asia dengan menentang ahli politik korup dan penjahat yang cuba menutup sekolah perempuan – kini PPB pun kagum dengan wirawati ini hanya hanya bersenjatakan pen dan buku.

Superman dan Batman perlu ketepi dan membuka laluan kepada wirawati dari Pakistan, Burka Avenger, yang akan menyampaikan mesej keamanan dan toleransi bagi pihak PBB.

Siri televisyen yang dicalonkan untuk Anugerah Emmy itu sudah pun memperoleh pujian serata dunia sejak pelancarannya pada 2013. Protagonis – seorang guru bernama Jiya – mengenakan purdah pada waktu malam dan berubah menjadi wirawati penuh aksi untuk menyelesaikan masalah sosial.

Kini, PBB mahu memanfaatkan populariti siri itu untuk kempen yang menekankan peranan wanita dalam membina keamanan bagi melawan ekstremisme.

“Kami berkongsi matlamat yang sama,” kata pencipta siri itu, Haroon Rashid, kepada Thomson Reuters Foundation.

“Seluruh konsep (Burka Avenger) melintasi fikiran semasa saya membaca tentang sekolah perempuan ditutup dan dibom oleh golongan pelampau, dan wanita dan kanak-kanak perempuan diancam keganasan. Kerana itulah wirawati itu dicipta,” katanya.

Rashid akan berucap pada satu persidangan Wanita PBB di Bangkok, Thailand, minggu ini yang akan meneroka pendekatan kreatif untuk mempromosikan peranan wanita dalam membina keamanan.

Walaupun belum ada kerjasama rasmi, agensi PBB dan Rashid berminat untuk bekerjasama, termasuklah menjadikan Burka Avenger sebagai duta badan dunia itu.

“Burka Avenger mampu menjadi penyampai hebat bukan sahaja untuk isu wanita tetapi kerana ianya sebuah animasi, kita boleh menonjolkan isu yang sangat sensitif dalam nada lebih lembut,” kata Rashid.

Menentang ekstremisme sejak kecil

Burka Avenger pertama kali dilancarkan di Pakistan, kemudian Afganistan dan tahun ini di Indonesia. Ia sudah diterbitkan dalam pelbagai bahasa termasuk Urdu, Tamil, Hindi, Pashto, dan Indonesia.

Siri itu sudah menerima pelbagai penganugerahan termasuk Anugerah Peabody, Hadiah Ekuiti Jantina Antarabangsa dan Anugerah Media Asia, dan protagonis wanita itu, Jiya, disenaraikan antara watak fiksyen paling berpengaruh pada 2013 oleh majalah Time.

Jiya yang kehilangan ibu bapa sejak kecil diambil sebagai anak angkat oleh seorang guru seni pertahanan diri mistik Takht Kabaddi, yang menggunakan pen dan buku sebagai senjata menentang musuh.

Perdebatan juga tercetus mengenai pilihan Jiya untuk penyamaran diri menggunakan burqa.

Purdah yang melitupi seluruh badan itu pada kebiasannya dipandang sebagai simbol penindasan di Barat tetapi kartun itu memaparkannya dalam nafas yang berbeza, sebagai simbol pemerkasaan wanita.

Ketua Wanita PBB Asia Pasifik Miwa Kato berkata kartun boleh bantu mengelakkan ekstremisme pada usia muda.

“Kita selalunya melihat kepada penguatkuasaan undang-undang untuk mencegah ekstremisme tetapi ia sebenarnya bermula sejak kecil menerusi televisyen dan hiburan,” kata Kato kepada Thomson Reuters Foundation.

“Seorang perempuan yang juga seorang wirawati menggunakan pen dan buku sebagai senjata mampu memulakan perbincangan di rumah atau sekolah.”

Burka Avenger akan dilancarkan di banyak lagi negara Asia termasuk Malaysia, Sri Lanka, Brunei, Singapura dan Bangladesh. Tetapi selepas 4 musim dan 52 episod, Rashid berkata beliau tiada rancangan untuk meneruskan episod baharu tetapi beliau sedang merancang satu filem cetera.

“Kami berharap ini akan bantu sebarkan mesej pada skala besar, kepada penonton lebih ramai,” kata bintang popular itu.