Tanpa warisan budaya, negara tiada identiti, kata Rais

Rais-Yatim_mak-yong_600PETALING JAYA: Sesebuah negara tidak akan memiliki identiti tersendiri tanpa warisan budaya kukuh, kata Tan Sri Dr Rais Yatim.

Penasihat kerajaan dalam hal ehwal sosial dan kebudayaan itu merujuk keputusan kerajaan Kelantan mengharamkan persembahan tarian tradisional “Mak Yong” yang berasal dari negeri itu lebih 200 tahun lalu.

PAS mengharamkan antara persembahan seni tradisi tertua di Kelantan melebihi 200 tahun itu sejak awal 1990-an, selepas parti Islam itu mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri terbabit.

Rais berkata, kerajaan Kelantan perlu mengiktiraf sejarah dan budaya sebagai sebahagian tamadun serta membenarkan persembahan seni budaya sepert Mak Yong dan wayang kulit diteruskan.

“Asal-usul kita sebahagian daripada sejarah, sama seperti bahasa Sanskrit yang menjadi sebahagian bahasa Melayu dan Indonesia sejak berzaman.

“Dengan sentuhan pengaruh Melayu-Patani lama, bentuk seni Mak Yong yang gemalai perlu dihargai,” kata bekas menteri luar serta menteri kebudayaan, kesenian dan warisan itu kepada FMT.

Mak Yong merupakan salah satu persembahan seni tradisi tertua Kelantan yang diiktiraf sebagai warisan dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu (Unesco).

Khamis lalu, Pelapor Khas PBB dalam bidang hak budaya, Karima Bennoune menggesa kerajaan Kelantan menarik balik larangan persembahan kebudayaan seperti Mak Yong, wayang kulit, main puteri dan dikir barat.

Mengulas lanjut, Rais berkata, warisan budaya di kebanyakan negeri semakin pupus dan tiada usaha untuk memberi nafas baharu atau memelihara seni budaya itu.

“Akta Warisan Kebangsaan 2005 dilambung seperti bola kempis,” katanya.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/09/22/kerajaan-kelantan-tetap-haramkan-mak-yong/