Bangunan pindah kegunaan sebab pusat tahfiz tidak patuhi piawaian keselamatan

Kamarulzaman-Malik-Abdullah-Bangunan-pindah-kegunaan-sebab-pusat-tahfizMELAKA: Bangunan yang dipindah kegunaannya merupakan kelemahan utama pusat tahfiz mematuhi piawaian keselamatan kebakaran apabila hanya 3 daripada 38 pusat tahfiz yang diperiksa Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di negeri ini, mematuhi piawaian tersebut.

Pengarah JBPM Negeri Melaka Kamarulzaman Malik Abdullah berkata syarat kelulusan piawaian keselamatan kebakaran untuk bangunan rumah kediaman, masjid dan pusat tahfiz adalah berbeza antara satu sama lain.

Beliau berkata hasil pemeriksaan itu mendapati kebanyakan pusat tahfiz di negeri ini beroperasi di rumah kediaman atau masjid, justeru bangunan itu perlu mematuhi syarat ditetapkan jika ingin beroperasi sebagai pusat tahfiz.

“Keperluan seperti laluan keluar yang selamat dan mencukupi perlu dipatuhi kerana rumah kediaman dan pusat tahfiz mempunyai syarat berbeza perlu dipatuhi khususnya dari segi aspek keselamatan kebakaran,” katanya kepada pemberita hari ini.

Terdahulu, beliau menghadiri program lawatan Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar Melaka Sazali Muhd Din ke Madrasah Darul Muttaqim di Krubong di sini.

Kamarulzaman berkata semua institusi tahfiz di negeri ini yang gagal mengemukakan pelan bangunan untuk beroperasi perlu melakukannya dalam tempoh 2 bulan dan sekiranya gagal, institusi tersebut boleh diarah tutup serta-merta.

Sementara itu, Sazali berkata Skuad Bomba ditubuhkan di semua institusi tahfiz di negeri ini dan dianggotai pelajar institusi itu sebagai langkah persediaan bagi menghadapi sebarang kejadian tidak diingini termasuk kebakaran.

“Kita telah mengenal pasti pusat tahfiz atau sekolah agama swasta yang terdapat di negeri ini iaitu 53 buah yang berdaftar di bawah Majlis Agama Islam Melaka dan skuad bomba akan ditubuhkan di institusi berkenaan.

“Aspek pendidikan kebakaran penting kerana sekiranya berlaku sebarang kejadian terutamanya kebakaran di pusat tahfiz, pelajar terlibat tidak cemas dan dapat bertindak dengan bijak menggunakan pengetahuan asas yang diperoleh,” katanya.

Beliau juga berkata pusat tahfiz dan sekolah agama swasta di negeri ini akan dijadikan anak angkat JBPM Melaka agar aspek keselamatan sentiasa dititikberatkan dan dipantau bagi mengelak insiden tidak diingini.

Dalam pada itu, Pengerusi Madrasah Darul Muttaqim Amir Ali berkata walaupun pusat tahfiz yang beroperasi sejak 5 tahun lepas itu dilengkapi alat pencegahan kebakaran seperti alat pemadam api dan alat pengesan asap namun aspek pengendalian peralatan berkenaan yang betul perlu didedahkan kepada pelajar.

“Daripada 80 pelajar tahfiz di sini, kita kini mempunyai 20 anggota skuad bomba. Kita amat berterima kasih kepada kerajaan negeri dan Jabatan Bomba dan Penyelamat kerana tidak meminggirkan pusat tahfiz ini sebaliknya memberi pelbagai bantuan bagi memastikan sistem pengajian di sini berjalan lancar dan selamat,” katanya.