‘Minum bir dan makan daging lembu di tempat sewajarnya’

mustafa-beer-1KUALA LUMPUR: Sarjana Turki terkenal Mustafa Akyol menyuarakan keperluan untuk golongan majoriti dan minoriti di negara majmuk menghormati nilai dan gaya hidup masing-masing.

Merujuk kepada kontroversi tentang keputusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melarang Better Beer Festival, penulis itu berkata, “Di Malaysia, ramai yang minum arak dan mereka patut dibenarkan untuk mengamalkan gaya hidup mereka.”

Tambah beliau, bagaimanapun, sensitiviti golongan yang memandang alkohol sebagai amalan negatif juga patut dihormati.

“Jadi, janganlah adakan festival bir bersebelahan masjid atau di kawasan kejiranan yang kamu memang tahu ramai akan menentangnya,” katanya.

DBKL melarang festival itu yang dijadualkan berlangsung bulan depan di sebuah pusat beli-belah, ekoran penentangan daripada kumpulan Islam termasuk PAS yang mengatakan acara itu akan menggalakkan maksiat.

Polis kemudiannya campur tangan dan mendakwa festival itu terpaksa dibatalkan kerana ia mungkin jadi sasaran militan.

Acara bir buatan khas itu sudah dianjurkan di Malaysia setiap tahun sejak 2012.

Akyol berkata ketika menjawab soalan Ketua Wanita Amanah Dr Siti Mariah Mahmud pada sebuah forum di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Siti Mariah berkata beliau sering dikritik sebagai terlalu liberal. “Tetapi saya menyuarakan bagaimana festival bir bukan sahaja sesuatu yang sensitif kepada orang Islam, tetapi juga berbahaya kepada kesihatan.”

Akyol mengakui beliau terkenal dengan sokongan terhadap idea liberal tetapi beliau pun mendapati sesetengah idea liberal “keterlaluan”.

Beliau berkata festival bir itu patut diadakan di tempat di mana majoritinya minum arak dan akan berminat dengan festival itu.

“Sama juga seperti orang Islam yang memakan daging lembu, walaupun majoriti di Malaysia orang Islam, ini tidak bermakna kita boleh adakan festival makan daging lembu besar-besaran di kawasan yang didiami ramai penganut Hindu kerana sensitiviti mereka juga perlu dihormati.

“Di India, orang Islam dibunuh hanya kerana memakan daging lembu dalam rumah sendiri.”