Najib: Putrajaya akan miliki pusat pameran terbesar di Asia Tenggara

najib-myexpo

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak berkata, negara akan memiliki pusat pameran terbesar di rantau Asia Tenggara selepas projek pembinaan Malaysia Exposition and Convention Centre (MyExpo) siap menjelang 2020.

Perdana menteri berkata, MyExpo akan dibina di atas tanah berkeluasan 1.5 juta kaki persegi, bersebelahan Pusat Konvensyen Antarabangasa Putrajaya (PICC).

Katanya, ia akan merangkumi bangunan setinggi 23 tingkat yang terdiri daripada pusat pameran 5 tingkat dan hotel bertaraf 4 serta 5 bintang yang akan dibina menerusi 2 fasa.

Ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah MyExpo hari ini, beliau berkata, MyExpo akan dilengkapi kemudahan berteknologi tinggi dan mampu menampung sehingga 60,000 orang dalam satu-satu masa, untuk muncul sebagai hab perdagangan antarabangsa serta destinasi pelancongan.

“Dengan keadaan semasa negara, kita telah berjaya menarik berjuta-juta pelancong dari luar negara ke Malaysia. Oleh itu, kita perlu meletakkan penanda aras lebih tinggi dan baik pada masa akan datang.

“Saya percaya dan yakin dengan kewujudan MyExpo ini akan menarik lebih ramai pelawat dan mewujudkan banyak peluang pekerjaan serta dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

“Projek MyExpo ini membawa kita kembali kepada visi yang dirangka dalam Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang mencipta pelan-pelan pengukuhan ekonomi dianggarkan sebanyak RM1.3 trilion bagi mengangkat Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.”

Dalam perkembangan lain, Najib yang juga pengerusi BN mengingatkan rakyat supaya tidak mudah terpengaruh dengan segelintir pihak yang cuba memburukkan negara bagi tujuan politik.

“Jangan dengar pihak yang asyik memburukkan negara mereka sendiri untuk kepentingan politik.

“Buktinya pihak luar kata kedudukan ekonomi kita berada pada kedudukan kukuh dan baik,” katanya merujuk tindakan pembangkang yang berterusan mengkritik pentadbirannya.