Pembantu pendaftar mahkamah bebas tuduhan rasuah

pembantu-pendaftar-Mahkamah-Syariah-Pekan-bebasKUANTAN: Seorang pembantu pendaftar Mahkamah Syariah Pekan dilepas dan dibebaskan Mahkamah Sesyen hari ini daripada pertuduhan menerima rasuah RM3,500 pada 3 tahun lepas.

Hakim Siti Aminah Ghazali melepaskan Mohd Kahar Arshad, 48, daripada pertuduhan ke atasnya setelah pihak pendakwaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Kahar sebelum ini didakwa menerima rasuah itu daripada seorang pembantu tadbir Hurul-Ain Hanafi pada jam 4.20 petang, 28 Mei 2014 di Restoran D’Oasis, Jalan Putra Square, di sini.

Mengikut kertas pertuduhan, wang itu didakwa sebagai dorongan untuk tertuduh membatalkan perkahwinan Hurul-Ain, 31, dengan suaminya Mohamad Zaki Ahmad Ghazali, 38, yang bernikah di Aceh, Indonesia dan dikatakan tidak sah selepas sijil pernikahan mereka dikeluarkan Majlis Agama Islam Wilayah Pattani, Thailand.

Tertuduh ditangkap pada 28 Ogos 2014, sehari selepas Hurul-Ain membuat laporan.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda RM10,000 atau 5 kali ganda nilai suapan, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Mohd Alif Farhan Hassan, manakala tertuduh diwakili peguam Khairul Nizam Che Yassin.