Polis sahkan Mustafa Akyol ditahan di KLIA

Polis-sahkan-Mustafa-Akyol-ditahan-di-KLIAPETALING JAYA: Polis hari ini mengesahkan penahanan Mustafa Akyol semalam ketika penulis Turki itu bersedia berlepas ke Rome selepas mengadakan siri ceramah di Malaysia yang mengundang tindakan pihak berkuasa agama.

“Ibu Pejabat Polis Bukit Aman yang meminta penama dikesan dan ditahan,” menurut jawapan polis kepada penganjur Akyol, selepas beliau tidak dapat dihubungi sebaik sahaja melepasi imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) malam tadi.

Menurut polis, pegawai imigresen menahan Akyol pada jam 8.50 malam sebelum diserahkan kepada Pejabat Kawalan Perjalanan (TCO) Polis di KLIA.

Kenyataan itu mengesahkan kebimbangan Akyol ditahan di KLIA, selepas usaha menghubunginya termasuk oleh isterinya, Riada Asimovic, gagal. Beliau sepatutnya menaiki penerbangan ke Rome pada 11.35 malam tadi, sebelum meneruskan perjalanan ke Boston, Amerika Syarikat, di mana beliau mengajar di Wellesley College.

Tidak dapat dipastikan sebab penahanan Akyol. Polis Malaysia sebelum ini bekerjasama dengan rakan mereka di Turki untuk mengusir warga Turki di negara ini yang dituduh menyokong percubaan menggulingkan pentadbiran Presiden Recep Tayyip Erdoğan tahun lalu.

Semalam, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) mengeluarkan arahan kepada Akyol dan Pengarah Islamic Renaissance Front (IRF), Datuk Dr Ahmad Farouk Musa, yang menjadi tuan rumah kepada Akyol, untuk hadir sesi soal siasat.

Jawi berkata Akyol melanggar Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) kerana tidak mempunyai tauliah mengajar agama, manakala Dr Farouk dituduh bersubahat di bawah akta sama.

Difahamkan sesi soal siasat Jawi itu tidak berlaku, tetapi pihak berkuasa berjaya memaksa pembatalan sebuah forum yang menampilkan Akyol di kampus Universiti Nottingham Malaysia di pusat bandar raya petang semalam.

Bercakap kepada FMT sebelum penahanannya semalam, Akyol melahirkan rasa terkilan dengan gangguan Jawi.

“Saya tidak pernah mengaku mufti atau imam dengan autoriti agama,” katanya. “Saya hanya merujuk pandangan lebih liberal dalam tradisi Islam, daripada perspektif akademik, dan saya hairan mengapa itu pun boleh menimbulkan rasa tidak selamat.”

Akyol, 45, kerap mengkritik pendukung Islamis dan sekularis di negara asalnya Turki, dan juga menyokong kebebasan bersuara di negara Islam di samping mengkritik tindakan kerajaan Islam menggunakan undang-undang tidak demokratik atas nama agama.

Sementara itu, Dr Farouk memberitahu FMT, 2 wakil Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), pesuruhjaya Jerald Joseph dan peguam Jesrina Kaur Grewal, akan melawat Akyol di KLIA hari ini.

Mereka dijangka ditemani wakil dari Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHIR).