Selangor pertahan Azmin tarik pelabur China

survei-malaysia-2017-elizabeth-1SHAH ALAM: Seorang Exco Selangor mempertahankan lawatan Menteri Besarnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ke China untuk menarik pelaburan ke negeri itu dan membidas kritikan wakil rakyat Barisan Nasional (BN), Budiman Mohd Zohdi.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Elizabeth Wong berkata kenyataan Budiman itu tidak cerdik dan cuba mengalih perhatian rakyat.

“Kerajaan negeri khasnya menteri besar (Azmin) pergi ke China untuk menjalinkan persahabatan dan hubungan baik antara 2 negara dan mendapatkan pelaburan tambahan untuk Selangor.

“Itu satu tanggungjawab setiap menteri besar dan khasnya di Selangor, bukan pergi ke China sahaja tetapi ke negara Eropah, China, India dan sebagainya.

“Saya rasa Budiman cakap seperti itu untuk mengalih pandangan berbanding lawatan perdana menteri (Datuk Seri Najib Razak) ke Amerika Syarikat (AS),” katanya ketika ditemui di Institut Darul Ehsan.

Semalam, Budiman membidas pembangkang hipokrit kerana mengkritik lawatan perdana menteri ke China tidak menguntungkan negara, sedangkan pemimpin Pakatan Harapan sendiri cuba menarik lebih banyak pelaburan ke negeri ditadbir mereka.

Adun Sungai Panjang itu merujuk lawatan Azmi ke China untuk menarik pelaburan ke negeri itu, selain kerajaan Pulau Pinang yang turut mendapat pinjaman Beijing bagi menampung perbelanjaan pembangunan di negeri terbabit.

Mengulas lanjut, Elizabeth berkata terdapat perbezaan ketara antara lawatan Azmin ke China dan Najib ke AS.

Katanya, Azmin ke China untuk dapatkan pelaburan, bukannya untuk menyerahkan sumbangan.

“Kalau lihat perdana menteri ke AS sebagai contoh, kita tidak tahu ada pelaburan apa tetapi menawarkan hasrat kerajaan untuk gunakan duit rakyat Malaysia melabur di AS untuk membeli Boeing dan sebagainya.

“Lawatan (Azmin) amat berbeza. Budiman buat macam itu untuk alih pandangan,” katanya.

Sebanyak 14 perjanjian melibatkan pelaburan lebih RM143 bilion, termasuk pembabitan China dalam Bandar Malaysia dan Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) bernilai RM55 bilion dimeterai dalam lawatan rasmi 6 hari Datuk Seri Najib Razak ke China pada November tahun lalu.

Ia disusuli lawatan kerja 5 hari Najib ke China mulai 12 Mei lalu atas jemputan Presiden Xi Jinping.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/09/25/adun-bn-bidas-lawatan-azmin-ke-china-bukti-pembangkang-hipokrit/