Strategi BN bawa 3 bekas MB Selangor akan gagal, kata PH

Saifuddin-Abdullah_selangor_600

SHAH ALAM: Pakatan Harapan (PH) berkata gabungan 3 bekas menteri besar Selangor dari Umno untuk mengembalikan sokongan rakyat kepada Barisan Nasional (BN) dilihat sebagai strategi lama yang akan gagal menawan kembali negeri itu.

Ketua Setiausaha PH, Datuk Saifuddin Abdullah berkata berkata rakyat kini sudah bijak untuk memilih pemimpin yang diyakini.

“Yang akan tentukan kedudukan kerajaan Selangor itu bukan 3 orang itu tetapi seluruh pengundi dan rakyat di Selangor,” katanya merujuk Tan Sri Muhamad Muhamad Taib, Tan Sri Abu Hassan Omar dan Dr Mohd Khir Toyo.

Muhammad, atau Mat Taib, baru-baru ini mengumumkan kemasukan semula dalam Umno selepas 4 tahun bersama pembangkang.

Sebelum ini, Pengerusi Umno Selangor Tan Sri Noh Omar berkata ketiga-tiga mereka akan memastikan BN menawan kembali negeri itu pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Saifuddin berkata beliau tidak mahu memperkecilkan jasa dan sumbangan bekas menteri besar itu.

“Tetapi kita harus melihat bahawa politik dan pilihan raya itu bukan ditentukan oleh orang tertentu,” katanya sambil menambah strategi menggunakan “pemimpin tertentu” tidak berjaya pada 2 pilihan raya umum yang lalu.