29 militan Uighur dihantar pulang ke China

zahid-militanBEIJING: Hasil perkongsian maklumat dalam biometrik dengan China sejak 2011, Malaysia berjaya menahan 29 militan Uighur yang terbabit dengan kumpulan pengganas IS dan mereka dihantar pulang ke China bagi tujuan pendakwaan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kejayaan tangkapan itu mendapat pujian tinggi daripada China dan mengukuhkan lagi kerjasama antara kedua-dua negara dalam aspek keselamatan.

“Mereka ditahan setelah masuk ke dalam negara melalui negara jiran menggunakan pasport palsu dan maklumat peribadi palsu,” katanya kepada media pada Rabu.

Turut hadir pada sidang media itu Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dan Duta Besar Malaysia ke China Datuk Zainuddin Yahya.

Hasil kejayaan itu, Ahmad Zahid berkata pada pertemuannya dengan Setiausaha Politik dan Hal Ehwal Undang-undang Parti Komunis China, Meng Jianzhu memaklumkan negara itu bersetuju memberikan beberapa peralatan kepada Pusat Serantau Digital Bagi Memintas Mesej Melalui Komunikasi (CMC) seliaan polis.

Beliau berkata pusat itu berperanan menjejaki dan mengatasi mesej berunsur keganasan termasuk mendapatkan maklumat mengenai aktiviti pengganas dan individu yang membiayai aktiviti tersebut bagi merancang serangan dalam negara, selatan Filipina dan selatan Thailand.

Ahmad Zahid berkata China juga memuji tindakan proaktif Malaysia dalam menangani jenayah penipuan dan perjudian dalam talian seperti Macau Scam sehingga negara berjaya menahan 416 rakyat republik itu dan menghantar mereka pulang dalam tempoh 2014 hingga 2016.

Beliau berkata penipuan itu yang melibatkan mangsa warganegara China dan Malaysia, mencatatkan kerugian bernilai RMB (Yuan) 500,000 juta.

“Langkah ini diambil kerana jenayah tersebut merosakkan institusi keluarga dan menjejaskan pendapatan keluarga mangsa,” katanya.

Justeru itu, katanya, kerjasama antara China dan Malaysia akan dipertingkat menerusi Bantuan Undang-undang Bersama (MLA), membolehkan kedua-dua negara menghantar pulang warganegara dikehendaki atas kesalahan jenayah rentas sempadan.