Akademi Pertahanan Awam tawar khidmat latih sekolah tahfiz

Akademi-Pertahanan-Awam-tawar-khidmat-latih-sekolah-tahfizKUALA LUMPUR: Akademi Latihan Pertahanan Awam Malaysia (Alpha) yang menjalankan program latihan dan kursus untuk anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sedia memberi latihan kecemasan kebakaran kepada kakitangan dan pelajar sekolah tahfiz.

Komandan Alpha Asisten Komisioner Abdul Wahab Rahim berkata mereka sedia untuk berbincang dengan pengendali sekolah tahfiz dan berharap kepakaran APM dapat membantu orang ramai berdepan kecemasan.

Beliau berkata demikian semasa mengunjungi Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Keramat hari ini untuk menyampaikan sumbangan wang tunai dan 6 pemadam api.

“Kita mahu orang ramai mempunyai ilmu pengetahuan asas sebagai persediaan berdepan dengan kecemasan misalnya terperangkap dalam bangunan terbakar,” katanya.

Seramai 21 pelajar dan 2 tenaga pengajar pusat tahfiz itu terkorban dalam satu kejadian kebakaran pada awal pagi 14 September lalu. Mereka gagal melepaskan diri kerana terperangkap yang bangunan yang terbakar itu.

Tragedi itu mengundang simpati dan kritikan orang ramai terhadap tahap keselamatan kebakaran sekolah tahfiz. Polis turut menahan 7 remaja, berusia antara 11 hingga 18 tahun, dalam siasatan ke atas kebakaran itu.