Dr M patut tanya terlebih dahulu, kata CEO Malaysia Airlines

mas-ceo-dr-mahathir-1

PETALING JAYA: Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines Peter Bellew menuduh Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Tun Dr Mahathir Mohamad menulis perkara yang tidak tepat dalam satu catatan blognya.

Dalam catatan itu, Dr Mahathir, bertanyakan sama ada pengurusan syarikat penerbangan itu bersetuju untuk membeli pesawat Boeing atas sebab yang salah.

“Menambah laluan secara tiba-tiba dengan pesawat besar ini tidak akan memberi cerminan baik kepada pengurusan. Atau Malaysia Airlines hanya cuba menyenangkan hati perdana menteri sehingga menjejaskan kebijaksanaan komersial?” katanya.

Bercakap kepada pemberita di Akademi Malaysia Airlines hari ini, Bellew berkata Malaysia Airlines sudah berbincang tentang pembelian pesawat Boeing berbulan sebelum Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membuat urus janji itu ketika lawatannya ke Amerika Syarikat.

“Walaupun saya mempunyai rasa hormat yang tinggi terhadap beliau atas sumbangannya dahulu, tetapi beliau tidak bertanya sesiapa antara kami sebelum menulis,” katanya.

Beliau berkata sebab Malaysia Airlines memerlukan pesawat baharu kerana kebanyakan pesawat sedia ada akan tidak boleh digunakan lagi.

Untuk menggantikan pesawat berbadan lebar dan menstabilkan angkatan pesawat antara 50/50 badan lebar dan sempit, MAS berminat dengan kedua-dua Airbus A330neo and Boeing 787 Dreamliner.

Bellew berkata keputusan memilih Boeing kerana ia tawaran yang baik dan kerana A330neo masih belum dikeluarkan.

“Kita juga akan menggantikan A380 sedia ada dengan A350.”

Bellew berkata kekeliruan itu disebabkan beliau dilapor mengatakan Malaysia Airlines tidak akan membeli pesawat Boeing tetapi memajaknya sebagai pajakan operasi.

“Ini membantu kita mengurangkan kos kerana sebagai syarikat penerbangan, kita mampu membeli pesawat ini dengan lebih murah dan kemudian menjualnya kepada pemajak dan kemudian memajaknya daripada mereka,” katanya.

Bellew dilaporkan berkata syarikat penerbangan itu tidak akan membeli dan memiliki pesawat Boeing yang kerajaan berjanji untuk beli.

“Pesawat ini tidak akan dimiliki oleh Malaysia Airlines tetapi dirancang menjadi pajakan operasi, satu kebiasaan dalam syarikat penerbangan moden,” Bellew berkata dalam memo dalaman bertarikh 15 September yang dilihat oleh terbitan perniagaan The Malaysian Reserve.

Mengenai soalan Dr Mahathir tentang destinasi pesawat itu, Bellew berkata pesawat Boeing mampu menerbangkan muatan maksimum dari Kuala Lumpur ke California dalam satu perjalanan.

“Kami mampu (menambah destinasi) jika kami mahukannya tetapi ini bukan bermaksud kami mahu atau tidak.

“Ini memberi peluang besar untuk mana-mana pemimpin syarikat penerbangan ini pada masa depan…dan menjimatkan kos bukan sahaja untuk perjalanan jauh tetapi juga untuk perjalanan ke destinasi seperti Seoul dan Beijing.”