Kerajaan takut intelektual ajak orang Islam berfikir, kata Zaid

zaid-akyolPETALING JAYA: Ahli DAP Datuk Zaid Ibrahim mengutuk penahanan penulis Turki, Mustafa Akyol, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Isnin lepas.

Bekas menteri itu berkata penahanan itu menandakan “kerajaan Umno” tidak tahu membezakan antara intelektual seperti Akyol dan penceramah seperti Zakir Naik, yang hanya tahu membangkitkan kebencian.

“Mereka takut pada penulis yang mengajak kita berfikir. Mereka yang sama agama boleh mempunyai pandangan berbeza. Alasan mengenai kelayakan hanyalah untuk menyekat pandangan berbeza,” katanya kepada FMT.

Akyol ditahan di KLIA pada Isnin ketika beliau bersiap untuk menaiki penerbangan ke Rom dalam perjalanan pulang ke Amerika Syarikat.

Penahanan berlaku selepas beliau diminta untuk hadir ke Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) kerana menyampaikan ceramah tanpa tauliah, suatu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan).

Akyol dibebaskan pada tengahari semalam selepas disiasat Jawi.

Akyol sering mengkritik penyokong Islamisme dan sekularisme di negara asalnya dan penyokong kuat kebebasan bersuara di negara Islam.

Dia juga mengkritik kerajaan Islam kerana menggunakan undang-undang tidak demokratik atas nama agama.

Sementara itu, NGO Islam, Sisters in Islam (SIS) mengalu-alukan berita pembebasan Akyol.

SIS mengutuk penahanan tersebut sebagai penyalahgunaan kuasa Jawi dalam usaha membatas dan memonopoli wacana mengenai Islam kepada mereka yang hanya menggunapakai satu pandangan tertentu dalam Islam.

SIS berkata Malaysia secara berterusan mempromosikan negara ini sebagai negara Islam sederhana.

Oleh itu, SIS bingung melihat pihak berkuasa agama boleh menggunakan dan menyalahgunakan kuasa untuk menahan individu yang dianggap “tidak layak”.

“Satu garis panduan harus dibuat untuk menamatkan keadaan tidak masuk akal ini yang menekan dan menindas suara yang mungkin berbeza dari naratif popular atas alasan pensijilan daripada pihak berkuasa agama negeri diperlukan untuk seseorang bercakap dan berkongsi pengetahuan mengenai Islam.

“Adalah penting bagi kita menyediakan ruang, terutamanya pada khalayak ramai untuk membolehkan wacana dan perdebatan terutama berkaitan agama.

“Jika kita membenarkan individu menyampaikan ceramah kebencian, prasangka dan perkauman di bawah nama agama, kenapa seorang lelaki seperti Mustafa Akyol yang dikenali menganjurkan Islam sederhana dan damai, di letak di bawah pengawasan?” Kata SIS dalam jawapan email kepada FMT .

NGO wanita Islam itu menyeru kerajaan memandang serius isu ini dan menghentikan penyalahgunaan kuasa oleh pihak berkuasa agama.