Lelaki serang pasangan berciuman bukan warga Malaysia

punch-arrest-1

PETALING JAYA: Individu yang ditahan polis Italy Ahad lepas kerana menyerang pasangan di luar masjid di Rom bukan warga Malaysia seperti yang dilaporkan sebuah portal berita.

Pegawai di kedutaan Malaysia di Rom berkata laporan itu salah.

“Individu itu dari Mali,” kata Norli Muadza Noor, seorang diplomat kanan di kedutaan, kepada FMT.

Portal berita Italy, Ansa, sebelum ini melaporkan lelaki itu bersemuka dengan pasangan itu kerana bercium di depan masjid di bahagian Esquilino, Rom.

Lelaki itu didakwa memberitahu pasangan itu, “Kamu tidak boleh berciuman depan masjid”, katanya sebelum menolak si wanita dan menyerang teman lelakinya.

Laporan itu berkata lelaki itu juga mengasari anggota polis yang menahannya.