Mufti: Jawatankuasa fatwa tiada kaitan arah lelaki berseluar pendek hadir kaunseling

Shukri-Mohamad-futsalPETALING JAYA: Jawatankuasa fatwa tiada kaitan dengan tindakan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheaik) mengarahkan lelaki menghadiri sesi kaunseling atau didenda RM1,000 kerana berseluar pendek hingga mendedahkan lutut semasa di khalayak ramai.

Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata Jahaeik mengambil tindakan itu selaras undang-undang Islam negeri, dan bukan berdasarkan kepada fatwa.

Beliau juga berkata masyarakat juga perlu tahu perbezaan bidang kuasa fatwa yang terletak pada jawatankuasa fatwa, bidang kuasa pentadbiran yang terletak pada Jaheik dan bidang kuasa kehakiman yang terletak pada mahkamah.

“Pihak berkuasa yang bertanggungjawab boleh ambil tindakan kalau melihat perkara itu tidak sopan…tapi soal orang lelaki bersukan memakai seluar pendek barangkali sopan jika ditafsirkan begitu (sopan),” katanya kepada FMT.

“Bagaimanapun isu melibatkan aurat lelaki ini akhirnya akan diputuskan mahkamah dan pihak yang mempunyai pandangan berbeza boleh berhujah di sana,” tambahnya.

Terdahulu Jaheaik mempertahankan tindakan mengarahkan lelaki berseluar pendek di khalayak umum supaya menghadiri sesi kaunseling.

Ketua Penguatkuasa Mohd Fadzuli Mohd Zain langkah itu selaras dengan Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan.

Lelaki terbabit, Wan Khairul Hayyee Wali, 30, dilaporkan berkata beliau diarah menghadiri sesi kaunseling itu bukan depan. Pekerja kedai borong itu akan dihadapkan ke mahkamah jika tidak mengikut arahan berkenaan.

The Star Online melaporkan Wan Khairul menerima notis itu pada 10.45 malam Isnin lalu.

Katanya, beliau cuba menjelaskan kepada penguat kuasa Jaheaik yang beliau keluar dari keretanya untuk membeli makanan bagi isterinya, sebelum pergi bermain futsal.

“Jika saya tidak berhenti untuk membeli burger, saya tidak akan tahu memakai seluar pendek ialah satu kesalahan, walaupun kami dalam perjalanan untuk bersukan.

“Takkanlah mereka nak saya pakai sarung untuk bermain futsal,” katanya sambil menambah beliau bermain futsal dengan seluar pendek sejak zaman sekolah lagi.