Najib cadang tahfiz perkenal latihan teknikal, vokasional

najib-vokasional

SHAH ALAM: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini mencadangkan pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional (TVET) diperkenalkan di sekolah tahfiz, kerana tidak mahu mereka tersisih daripada program pembangunan negara.

Beliau berkata kerajaan mahu membantu pelajar tahfiz memiliki kemahiran industri dan tidak terikat kepada ilmu agama sahaja.

“Kita akan memperkenalkan TVET kepada pelajar tahfiz sebagai tambahan, selain menghafaz Al-Quran, untuk mereka memiliki kemahiran terbaik,” katanya semasa berucap di majlis pelancaraan penjenamaan semula TVET di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (Adtec), Shah Alam.

Najib menegaskan TVET bakal menjadi titik perubahan ke arah pembangunan ekonomi negara, maka tanggapan TVET pendidikan pilihan kedua atau untuk pelajar yang tidak mempunyai kelayakan baik meleset.

“Dalam menghadapi senario ini, negara perlu mempunyai tenaga kerja berkemahiran tinggi supaya bersesuaian dengan suasana kerja dan keperluan semasa industri yang semakin kompleks, khususnya bagi menghasilkan produk serta perkhidmatan yang berkualiti,” katanya.

Kerajaan mengiktiraf TVET sebagai teras ketiga dalam Rancangan Malaysia Ke-11 dan transformasi TVET salah satu bidang fokus.

“Sebetulnya, kerajaan menyedari bahawa pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional di negara ini mempunyai pelbagai dimensi dan ditawarkan dalam bermacam bentuk program oleh 7 kementerian yang utama.

Kerajaan sudah menubuhkan jawatankuasa khas, Jawatankuasa Modan Insan untuk Industri 4.0,, untuk merangka pelan TVET dan memantau pelaksanaan pelan itu. Jawatankuasa itu dipengerusikan bersama oleh Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Pendidikan Tinggi.