PAS dakwa MBPJ terima permohonan pesta arak

pas-beer-mbpj

PETALING JAYA: PAS hari ini mendakwa penganjur Festival “Better Beer” 2017 memohon untuk mengadakan pesta arak di Bandar Utama, Selangor Oktober ini.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Datuk Khairuddin Aman Razali mendakwa perkara itu disahkan oleh Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

“Kita dimaklumkan permohonan itu belum lengkap dari segi prosedur…antara prosedur yang diperlukan melibatkan kelulusan pihak polis dan kastam,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di MBPJ.

“Yang di Selangor mereka hendak adakan di One Utama pada Oktober nanti dibuat selepas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membatalkan permohonan,” tambahnya.

Beliau bersama Ketua Ulama PAS Selangor Rizuah Rahmat, Ketua Pemuda PAS Selangor Syarhan Hurmaizi Halim dan Ketua Wanita PAS Selangor Wan Hasrina Wan Hassan mengadakan pertemuan 30 minit dengan MPBJ hari ini bagi menyatakan bantahan rasmi parti Islam itu penganjuran pesta arak dalam wilayah MPBJ.

Khairuddin menegaskan bantahan PAS tidak mencabar hak bukan Islam mengambil arak tetapi mempertikaikan keperluangan berpesta arak.

“Ia melibatkan masyarakat dan apa jaminan mereka yang terlibat dengan pesta ini tidak keluar dari selesai pesta dengan keadaan tidak mabuk dan tidak mengancam keselamatan masyarakat awam?” katanya.

Beliau berkata PAS berharap kejayaan mereka menekan kerajaan Wilayah Persekutuan menolak permohonan penganjuran pesta arak juga berlaku di Selangor.

“Kita ambil pandangan ketua polis negara yang menyatakan bahawa mereka tak akan benarkan. Itu pandangan yang baik menggambarkan beliau prihatin dengan kehendak masyarakat. Jadi kita mengalu-alukan kenyataan daripada kastam kerana ini melibatkan permit kastam.”

FMT cuba mendapat pengesahan daripada MBPJ.