Pihak berkuasa agama Kelantan pertahan halang lelaki berseluar pendek

jaheaik-futsal-seluar-pendekPETALING JAYA: Pihak berkuasa agama di Kelantan mempertahankan tindakan ke atas lelaki berseluar pendek di khalayak umum untuk menghadiri sesi kaunseling mandatori atau berdepan denda RM1,000, dengan berkata ia selaras dengan enakmen Islam negeri.

Ketua Penguatkuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (Jaheaik), Mohd Fadzuli Mohd Zain, berkata ia merupakan amalan biasa pihaknya di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah 1985 Kelantan.

“Rutin biasanya kita buat bersama Agensi Dadah Kebangsaan (AADK), polis, Jabatan Pegangkutan Jalan (JPJ) dan sebagainya dan kita buat secara berskala tanpa pilih kasih ketika melakukan operasi,” katanya kepada FMT, ketika diminta mengulas penangkapan seorang lelaki kerana berseluar pendek untuk bermain futsal.

Lelaki itu diarahkan menghadiri sesi kaunseling mandatori atau didenda RM1,000 kerana menunjukkan lututnya, yang menurut takrifan pihak berkuasa agama melanggar peraturan aurat Islam.

Fadzuli berkata peraturan itu sama seperti peraturan mewajibkan tudung ke atas wanita Islam.

“Kalau (lelaki) berpakaian tidak menutup aurat, kita kategorikan dalam enakmen di bawah Seksyen 5 (1), iaitu perbuatan yang tidak sopan yang bertentangan dengan hukumn syarak. Sama seperti peraturan yang dikenakan kepada mana-mana perempuan yang tidak bertudung, berpakaian ketat dan tidak sopan, kita juga beri notis supaya menghadiri kauseling,” katanya.

Fadzuli berkata tindakan itu bertujuan “mendidik”.

“Majoriti mereka yang terlibat memberi respon positif, walaupun tidak keseluruhan. Mereka terima baik apa yang kita lakukan, sebab kita hanya memberi kaunseling dan keterangan berdasarkan apa yang dikehendaki agama itu sahaja,” katanya.

Menurutnya, pesalah lelaki tidak dihadapkan ke mahkamah seperti mana perempuan kerana terdapat perbezaan pendapat di kalangan ulama.

Tambahnya, pelaksanaan peraturan itu hanya melibatkan orang Islam.

Fadzuli bagaimanapun berkata tindakan tidak diambil ke atas pemain bola sepak kerana mereka berada di gelanggang bagi tujuan bersukan.

Menurutnya, ada pendapat ulama mengatakan seseorang boleh berpakaian demikian semasa bersukan tetapi tidak boleh sesuka hati berseluar pendek di tempat awam.

“Kalau mereka bermain sukan dibolehkan kerana itu tempat permainan dan mereka ada hak. Tapi kalau pakai seluar pendek di kawasan awam, pergi ke pasar raya, itu tidak sesuai bagi orang Islam,” katanya sambil memaklumkan tindakan itu diambil selaras dengan ajaran mazhab Syafie.

Sementara itu Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Serantau Datuk Nassuruddin Daud berkata pihak kerajaan negeri menyerahkan sepenuhnya kepada pihak Jaheaik.

“Mereka mewakili kerajaan negeri, perkara ini biar majlis agama dan jabatan agama negeri bertindak sebab mereka bertindak mengikut undang-undang yang ada,” katanya ketika dihubungi.