Remaja pukul ibu bebas dadah

remaja-pukul-mak-viralKUALA LUMPUR: Remaja lelaki 15 tahun yang didapati memukul ibunya di rumah mereka di Ampang semalam dipercayai kerana mahukan wang, disahkan bebas daripada pengaruh dadah.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, ACP Hamzah Alias berkata ujian air kencing dilakukan terhadap remaja berkenaan ketika dia hadir bersama ibunya di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya untuk memberi keterangan.

Beliau berkata rakaman remaja berkenaan memukul ibunya dirakam adik perempuannya yang menyerahkan rakaman itu kepada bapanya.

“Bapa remaja berkenaan kemudian menyerahkan rakaman itu kepada guru sekolah remaja itu dengan niat untuk meminta guru sekolah menasihati anaknya.

“Rakaman insiden itu kemudiannya tular dan dikecam masyarakat. Siasatan lanjut berhubung insiden ini sedang dijalankan,” kata Hamzah.