SPR tempelak cadangan penduduk Sabah, Sarawak mengundi di Malaysia Barat

Mohd-Hashim-Abdullah-pengundi-sabah-sarawak-bersihPUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menempelak cadangan Bersih 2.0 yang mahu rakyat Sabah dan Sarawak yang tinggal atau bekerja di Malaysia Barat diberi pilihan membuang undi di kawasan yang mereka diami.

Pengerusi Tan Sri Mohd Hashim Abdullah berkata pilihan itu juga perlu diberi kepada rakyat negeri lain.

“Bagaimana dengan orang Kelantan macam saya? Macam mana dengan orang Kedah? Macam mana dengan orang Terengganu?

“Saya berjumpa dengan kumpulan Borneo di Johor. Dan memang kita galakkan mereka daftar di tempat mereka duduk. Tapi anda sendiri tak nak sebab nak balik mengundi di kampung,” katanya pada sidang media selepas melancarkan aplikasi mudah alih MySPR Semak di sini hari ini.

Sebelum ini, Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah menggesa SPR dan Putrajaya meminda undang-undang membolehkan rakyat Sabah dan Sarawak tidak perlu kembali ke Malaysia Timur untuk membuang undi.

Dalam pada itu, Hashim berkata kaedah e-voting perlukan lebih kajian dan mencadangkan wakil rakyat pemerintah dan pembangkang mencari kata sepakat mengenai pelaksanaannya.

“Parti mana yang ada majoriti 2/3 di Parlimen sekarang? Boleh ke parti pembangkang bawa, pemerintah boleh terima atau pemerintah bawa, pembangkang boleh terima? Kalau tak boleh, untuk apa kita bawa sekarang?” katanya.