UK maju namun tiada jaminan kehidupan lebih baik, kata kelab Perkasa

uk-britain-united-kingdomPETALING JAYA: Kelab Perkasa United Kingdom (UK) tidak menafikan negara Eropah itu maju berbanding Malaysia namun percaya Malaysia merupakan negara terbaik.

Pengerusi Kelab Perkasa UK Ainor Izman Mahmood berkata, tidak salah jika ke luar negara untuk menimba ilmu pengetahuan dan pengalaman namun ia tidak menjanjikan kehidupan lebih baik.

“Secara prinsipnya, kehidupan kita akan lebih baik sekiranya kita sendiri yang berusaha untuk mengubah hidup kita, tidak kira di mana kita berada.

“Di UK, tiada sebarang keistimewaan dan kemudahan spesifik yang dijanjikan kepada kita untuk memulakan langkah di sini. Segalanya bergantung kepada tubuh badan sendiri.

“Kita perlu bersaing dengan bangsa lain selain daripada penduduk UK, terutamanya penduduk dari Kesatuan Eropah (EU) yang lebih diberikan keutamaan mendapatkan pekerjaan dan sebagainya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Datuk Zaid Ibrahim menggesa golongan muda Melayu berhijrah ke UK di mana beliau percaya kehidupan akan lebih baik jika dibandingkan dengan Malaysia.

Zaid sifatkan, Malaysia “negara orang Islam yang tenat” berbanding UK yang akan memberi ruang untuk belajar dan menjadikan diri lebih berguna.

Tambah Zaid, di Malaysia ulama Islam “tidak suka golongan homoseksual dan liberal, walhal mereka juga ciptaan Tuhan” sekaligus menjadikan diri lemah dari segi intelek.

“Orang yang bercakap tentang Islam di Malaysia adalah sarjana taraf rendah, dan ramai juga yang menjadi jurucakap parti pemerintah.

“Mereka pengampu yang tidak sama kaliber dengan Mu’tazillah, pakar undang-undang dan ahli teologi zaman Abbasiyah yang mendebatkan isu keagamaan seperti konsep tauhid,” kata Zaid.

Mengulas lanjut, Ainor berkata beliau percaya lebih mudah untuk menganjurkan aktiviti berteraskan keagamaan di Malaysia dibandingkan di UK.

“Di Malaysia, tiada rasa takut untuk mengamalkan ibadah mengikut agama masing-masing. Tiada pandangan serong daripada bangsa atau agama lain.

“Perkasa UK menggalakkan rakyat Malaysia ke luar negara bagi menimba ilmu pengetahuan dan pengalaman tetapi perlu pulang ke tanah air bagi menyumbangkan ilmu dan pengalaman yang dipelajari dan sekaligus membantu dalam membangunkan bangsa dan tanah air kita,” katanya.

Berhijrah bukan senang

Sementara itu, seorang lagi rakyat Malaysia yang menetap 13 tahun di luar negara berkata, tidak mudah untuk berhijrah ke luar negara.

“Tanpa pengetahuan dan pengalaman, boleh membuatkan seseorang itu hilang tujuan, berhijrah bukan senang dan bukan untuk semua.

“Minda, hati dan emosi mesti kuat dan betul, yang penting adalah mendapatkan kerja tetap dan wang,” katanya yang hanya mahu dikenali sebagai Fay yang bertugas sebagai pegawai khidmat sokongan.

Jelasnya, negara akan mengalami kerugian jika anak muda yang berpotensi untuk membangunkan negara dan memperbetulkan situasi berlaku dalam negara berhijrah.

“Jika golongan muda terutamanya berpotensi membangunkan semula negara, berhijrah dan hilang dari Malaysia, siapa pula yang akan memperbetulkan keadaan dan menegakkan semula maruah Malaysia.

“Sebab itu saya bangga dengan segelintir tokoh politik muda yang mula bersuara dalam hal ini dan menggesa agar negara diperbetulkan semula. Sebab itu saya merasakan sudah tiba masanya orang muda diberikan peluang untuk mentadbir,” katanya.