2 remaja didakwa bunuh 23 pelajar, guru tahfiz di Keramat

suspekKUALA LUMPUR: Dua remaja yang masing-masing berusia 16 tahun dihadapkan ke Mahkamah Tinggi, di sini, terhadap 23 pertuduhan membunuh 21 pelajar dan 2 guru yang maut dalam kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Kampung Datuk Keramat, 2 minggu lalu.

Dua tertuduh itu didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 akta sama, kerana berniat membunuh 23 pelajar dan guru tahfiz itu.

Tiada pengakuan dibuat dalam prosiding tertutup di depan Majistret Siti Radziah Kamarudin.

Waris mangsa kebakaran itu diarah meninggalkan mahkamah sebaik sahaja prosiding bermula, manakala ahli keluarga tertuduh dibenarkan berada di dalam mahkamah.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret, 2 remaja berusia 16 dan 17 tahun mengaku bersalah mengambil dadah jenis ganja dan syabu, manakala 3 lagi tertuduh berusia 12, 15 dan 16 tahun mengaku tidak bersalah di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Seorang daripada tertuduh yang berusia 12 tahun itu dibenarkan diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin, manakala 2 lagi remaja berusia 15 dan 16 tahun itu tidak dibenarkan diikat jamin atas faktor keselamatan mereka.

Peguam tertuduh, Noor Svetlana Mohd Noor Nordin berkata, Majistret Zilfinaz Abbas mengadakan prosiding itu secara tertutup.

Seorang lagi tertuduh berusia 18 tahun yang berdepan 2 pertuduhan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana mengambil ganja dan syabu, mengaku bersalah di depan Majistret Umzarul An Nur Umar.

Mahkamah menetapkan 28 November ini untuk sebutan semula kes bagi 2 remaja terbabit dan tertuduh berusia 18 tahun itu, sementara menunggu hasil ujian air kencing dan laporan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Pada 16 September lalu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh dilaporkan berkata, 6 daripada 7 suspek itu didapati positif dadah jenis ganja dan dipercayai khayal ketika memulakan kebakaran itu, manakala 2 daripadanya mempunyai rekod jenayah lampau.

Seramai 21 pelajar lelaki berusia 6 hingga 17 tahun dan 2 guru berusia 25 serta 26 tahun terkorban dalam kebakaran jam 5.15 pagi, 14 September lalu.

Tujuh mangsa termasuk 6 pelajar sekolah tahfiz itu turut cedera dalam tragedi berkenaan.