Akhbar Israel gesa henti jual senjata kepada Myanmar

israel_Myanmar_army_600

PETALING JAYA: Sebuah akhbar Israel menggesa kerajaan negara itu berhenti menjual senjata kepada Myanmar yang terus melakukan jenayah terhadap kemanusiaan dengan menindas dan membunuh etnik Islam Rohingya.

Haaretz menerusi lidah pengarangnya semalam bertajuk “Israel is Arming Criminals” menggesa hakim Mahkamah Tinggi dan semua wakil rakyat daripada parti pemerintah serta pembangkang bersatu menghentikan segera pengeksportan senjata ke Myanmar.

Akhbar itu berkata, Israel adalah satu-satunya negara yang masih berdegil, selepas Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat melarang penjualan senjata kepada Yangon.

Haaretz melaporkan selain junta tentera Myanmar, kerajaan Israel juga pernah menyokong jenayah perang dengan menjual senjata kepada tentera Argentina, Bosnia, Chile, puak pemberontak Contras di Nicaragua dan Sudan Selatan.

Menurut akhbar berkenaan, aktivis hak asasi manusia yang menentang penjualan senjata kepada Myanmar mengemukakan petisyen di Mahkamah Tinggi Israel, Isnin lalu.

“Sejak pertengahan abad ke-20, Israel terbabit dalam jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di sebahagian besar dunia melibatkan senjata, latihan dan pengetahuannya.

“Kami berharap hakim Mahkamah Tinggi tidak akan membenarkan sejarah Israel berulang di Myanmar,” kata peguam Eitay Mack yang mewakili kumpulan aktivis hak asasi manusia itu kepada mahkamah Isnin lalu.

Akhbar itu hairan kenapa sebahagian pendengaran itu dibuat secara terbuka, manakala selebihnya secara tertutup di mana wakil kerajaan mengulangi respons Mac lalu iaitu “Mahkamah tiada kuasa membincangkan penjualan senjata kerana ia adalah urusan ‘diplomatik’ semata-mata”.

Keganasan terkini tercetus selepas Yangon menuduh Tentera Pembebasan Arakan Rohingya (Arsa) melancarkan serangan ke atas pasukan keselamatan di utara Myanmar.

Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menyifatkan tentera Myanmar menjalankan operasi pembersihan etnik Rohingya, termasuk membunuh, merogol dan membakar perkampungan Rohingya yang memaksa lebih 400,000 penduduk di Rakhine terpaksa melarikan diri ke Bangladesh.