Ambil masa untuk gubal akta kawal dana politik, kata menteri

Paul-Low-Seng-Kuan-pdea-parlimen-bangunanPUTRAJAYA: Kerajaan tidak mempunyai masalah untuk menggubal Akta Sumbangan dan Perbelanjaan Politik (PDEA) yang dicadangkan sebelum ini walaupun penggubalannya mengambil masa, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low Seng Kuan.

Beliau berkata PDEA mungkin akan dibentangkan di Parlimen tahun depan.

“Seperti saya sebut sebelum ini kami telah tubuhkan jawatankuasa teknikal mengenai perkara itu dan tidak susah untuk menggubalnya.

“Kita harap tahun depan akan dibentangkan tetapi yang pasti sidang Parlimen akan datang ini (Oktober) tidak akan dibentangkan,” katanya di Hari Terbuka Integriti EAIC 2017 di Menara Usahawan.

Tahun lepas, Low berkata satu mekanisme diperlukan bagi memastikan parti politik mendapat dana daripada saluran yang betul.

Manakala awal bulan lalu, Low berkata PDEA yang dicadangkan tidak akan dibentangkan di Parlimen sebelum pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

“Ia adalah akta baharu dan memandangkan ia baharu, sudah tentu penggubalannya mengambil masa. Satu perkara baik mengenai akta tersebut ialah kami telah berbincang dengan masyarakat dan parti politik mengenainya.”

Sementara itu, Low berkata Penubuhan Jabatan Integriti dan Tadbir Urus Negara (JITN) sedang diteliti Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) melalui perbincangan dengan semua agensi yang relevan.

Beliau berkata ia bagi memastikan tiada pertindihan fungsi, selain menambah baik keberkesanan penggunaan sumber manusia sedia ada.

Low berkata penubuhan JITN dipersetujui Kabinet pada 28 Julai lepas, selaras dengan Program Tansformasi Kerajaan (GTP) bagi penginstitusian inisiatif pematuhan dalam bidang tadbir urus, integriti dan hak asasi manusia.

“JITN diwujudkan untuk menerajui transformasi perubahan bagi membina kapasiti institusi terutama dalam kalangan penjawat awam dan memacu perubahan polisi serta memperkasakan proses kerajaan,” katanya.