Arab Saudi julung kali lantik wanita ke jawatan kanan kerajaan

saudi-womenRIYADH: Arab Saudi julung kali melantik seorang wanita memegang jawatan kanan dalam kerajaan, kata pihak berkuasa semalam, sehari selepas larangan wanita memandu dibatalkan dalam usaha negara konservatif itu memodenkan imejnya.

Riyadh dikritik hebat kerana merupakan satu-satunya negara di dunia yang mengharamkan wanita memandu, tradisi yang dianggap aktivis hak asasi manusia sebagai lambang penindasan wanita.

Selepas 24 jam Raja Salman mengarahkan pembatalan larangan itu, Riyadh mengumumkan Eman Al-Ghamidi sebagai penolong datuk bandar Al Khubar.

Beliau dilantik ke jawatan itu “sebagai sebahagian rancangan meningkatkan jumlah wanita dalam jawatan kepimpinan, sejajar Wawasan 2030”, kata Pusat Komunikasi Antarabangsa di bawah Kementerian Kebudayaan dan Penerangan menerusi satu kenyataan.

Kerajaan Saudi berkata, Wawasan 2030 ialah pelan besar pembaharuan ekonomi dan sosial untuk meningkatkan penyertaan wanita dalam pasaran buruh daripada 22% kepada 30%.

Wanita di negara itu menyambut baik kebebasan baharu yang diberikan kepada mereka, dengan ada yang mula memandu, walaupun lesen hanya akan dikeluarkan dalam masa 9 bulan lagi.

Membenarkan wanita memandu akan meningkatkan tekanan untuk menyingkirkan halangan lain bagi mereka mereka mencari pekerjaan, seperti sistem penjagaan muhrim di mana wanita perlu mendapat kebenaran saudara lelaki dalam kebanyakan keputusan berkaitan pendidikan, pekerjaan, perkahwinan, rancangan perjalanan, malah rawatan kesihatan.

Akhirnya, wanita Saudi dibenarkan memandu