Azizulhasni lelong sarung tangan bantu sekolah tahfiz Keramat

azizulPETALING JAYA: Jaguh trek negara, Azizulhasni Awang menyumbang hasil lelongan sarung tangan yang dipakainya ketika bertanding di Sukan Olimpik Rio 2016 kepada Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Kampung Datuk Keramat, semalam.

Menerusi catatan Facebooknya, juara dunia itu berkata, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin merupakan pembida tertinggi dengan tawaran RM5,000.

Hasil lelongan itu diserahkan kepada Pengetua sekolah tahfiz itu, Muhammad Zahid Mahmod ketika pelumba basikal negara itu meninjau lokasi kebakaran yang meragut 23 nyawa itu, sekembalinya daripada latihan di Australia, semalam.

Beliau yang lebih dikenali sebagai “Pocket Rocket Man” adalah pemenang pingat gangsa acara keirin di Rio 2016 pada Ogos tahun lalu.

“Tidak dinafikan perasaan pilu dan sebak meresapi diri saya, apabila melihat dengan kedua mata sendiri kesan kebakaran tersebut dan apabila mendengar cerita daripada mulut Ustaz Zahid tentang apa yang berlaku pada waktu kejadian.

“Diharap kejadian seperti ini adalah yang pertama dan terakhir di negara kita dan semoga ia menjadi iktibar kepada diri saya sendiri dan semua pihak,” tulis atlet berusia 29 tahun itu di Facebooknya.

Seramai 21 pelajar lelaki berusia 6 hingga 17 tahun dan 2 guru berusia 25 serta 26 tahun terkorban dalam kebakaran jam 5.15 pagi, 14 September lalu.

Tujuh mangsa termasuk 6 pelajar sekolah tahfiz itu turut cedera dalam tragedi berkenaan.

Dua daripada 7 suspek lelaki berusia 11 hingga 18 tahun yang ditahan polis, akan dihadapkan ke mahkamah hari ini mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, manakala selebihnya didakwa di bawah Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Pengetua tahfiz bersyukur remaja suspek kebakaran didakwa esok