Kes Gatco: Pemilik syarikat direman 5 hari

gatco-ladang-tahan-sprm-datukPUTRAJAYA: Seorang pemilik syarikat direman 5 hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung isu jual beli tanah di Kampung Serampang Indah, Jempol, Negeri Sembilan yang dahulunya dikenali sebagai Ladang Gatco.

Majistret Azizah Ahmad mengeluarkan perintah reman itu selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Lelaki berumur 54 tahun itu yang merupakan bekas pegawai bank ditahan pada 6.30 petang semalam di pejabat SPRM di sini, setelah hadir memberi keterangan.

Dia disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Isu pertikaian ladang Gatco bermula, apabila peneroka tidak berpuas hati dengan penjualan ladang itu dan mendakwa wujud penyelewengan dalam penjualan tanah tersebut kepada Thamarai Holdings Sdn Bhd pada 2007, memandangkan syarikat berkenaan hanya membayar RM16 juta sedangkan nilai pasaran semasa ialah kira-kira RM500 juta.

Kes Gatco bermula selepas pemilik asal tanah seluas 2,000 hektar berkenaan, Syarikat Gula Negeri Sembilan ditutup, menyebabkan ladang tebu terbabit dilupuskan kepada Perbadanan Kemajuan Negeri, Negeri Sembilan (PKNNS) secara pajakan 99 tahun.

PKNNS kemudian memajakkan tanah tersebut selama 66 tahun kepada syarikat The Great Allonioners Trading Corporation Bhd (Gatco) pada 1977 dan Gatco menjadikan kawasan tersebut sebagai tanah rancangan dengan membawa masuk peserta yang ditawarkan tapak rumah dan tanah kebun seluas 4.048 hektar dengan bayaran RM4,000 hingga RM7,000 seorang.

Perancangan awal ladang tersebut akan dijadikan ladang getah, namun Gatco menghadapi masalah kewangan menyebabkan projek itu terbengkalai dan tanah tersebut dirampas sebelum ditawarkan untuk lelongan awam pada 2004 dan dibeli Thamarai Holdings pada 2007.