Keselamatan bangunan baharu tahfiz Keramat dipersoal

Pemandangan dari atas rumah yang bakal menempatkan Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung. Garis merah menunjukkan had asal sebelum pengubahsuaian.
Pemandangan dari atas rumah yang bakal menempatkan Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung. Garis merah menunjukkan had asal sebelum pengubahsuaian.

KUALA LUMPUR: Walaupun Pengetua Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung berjanji untuk memastikan tahap keselamatan bangunan baharu yang akan diduduki oleh pelajar, namun penduduk setempat bimbang tragedi sama akan berulang sekiranya beberapa aspek kecemasan tidak dipatuhi.

Seorang penduduk di sebuah pangsapuri di Jalan Keramat Ujung, bersebelahan dengan pusat tahfiz yang baharu itu, berkata ia dihubungkan dengan jalan yang sempit dengan hanya satu laluan, dan bakal merumitkan operasi menyelamat pada waktu kecemasan seperti kebakaran.

Rizal Imran berkata kira-kira 1,000 penduduk Pangsapuri Bukit Baru terpaksa menggunakan hanya satu jalan berulang alik di kawasan itu, begitu juga untuk sampai ke rumah yang bakal menempatkan pusat tahfiz itu.

“Sewaktu orang ramai pulang kerja, jalan akan penuh dengan kereta dan sangat mustahil jika lori bomba muat untuk lalu ke kawasan ini jika jalan ke kawasan ini sesak.

Jalan menuju ke Pangsapuri Bukit Baru dan juga ke pusat tahfiz yang dibimbangi boleh merumitkan kerja menyelamat sekiranya berlaku kecemasan
Jalan menuju ke Pangsapuri Bukit Baru dan juga ke pusat tahfiz yang dibimbangi boleh merumitkan kerja menyelamat sekiranya berlaku kecemasan

“Ini bukan soal keselamatan penduduk sahaja, malah keselamatan penghuni pelajar-pelajar sekolah tahfiz ini,” katanya kepada FMT.

Tragedi yang berlaku pada awal pagi 14 September itu mengundang simpati dan kritikan orang ramai terhadap tahap keselamatan kebakaran sekolah tahfiz. Seramai 7 remaja ditangkap dalam siasatan ke atas kebakaran itu.

Rizal memberikan contoh risiko keselamatan, termasuk sebatang tiang elektrik yang berdekatan dengan sebuah restoran berhampiran dengan sekolah tahfiz baharu itu.

Beliau mempersoalkan sama ada ia mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Apa yang lebih membimbangkan tiang elektrik itu berdekatan dengan dapur restoran itu dan ini sangat membahayakan,” katanya.

Sebatang tiang elektrik berdekatan sebuah restoran berhampiran dengan sekolah tahfiz baharu, yang menurut penduduk adalah risiko kebakaran.
Sebatang tiang elektrik berdekatan sebuah restoran berhampiran dengan sekolah tahfiz baharu, yang menurut penduduk adalah risiko kebakaran.

Beliau menyeru Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan jabatan bomba tempatan menjalan pemeriksaan secara menyeluruh di bangunan baharu dan kawasan berhampirannya bagi memstikan ia selamat untuk diduduki oleh pelajar.

Bagaimanapun, Pengetua Darul Quran Ittifaqiyah, Muhammad Zahid Mahmood menafikan wujud risiko keselamatan.

“Tidak ada isu dan masalah di sini. Boleh sahaja lalu walaupun jalan sempit, masalah di sini parkir sahaja,” katanya kepada FMT.

“Kita juga telah meminta jabatan bomba tempatan memeriksa aspek keselamatan bangunan ini sebelum kami berpindah ke sini.”

Menurutnya, bangunan baharu sekolah itu sudah boleh masuk tetapi pihaknya meminta khidmat nasihat bomba mengesahkan prosedur operasi standard (SOP) dari segi asap lonceng keselamatan, hos dan sebagainya.

Zahid berkata tragedi kebakaran yang mengorbankan 23 pelajar dan guru itu menyedarkan institusi tahfiz mengenai aspek keselamatan pelajar.

Menurutnya, sementara menunggu bangunan baharu diduduki, pihaknya sudah ada tempat sementara, tetapi enggan memberitahu maklumat lanjut untuk menjaga kepentingan pelajar.

“Ini kerana pertamanya hafalan pelajar kita mungkin sudah lupa dan pelajar mula berkawan mengikut suasana di luar sehingga mereka tidak ada minat untuk belajar tahfiz dan belajar lain,” katanya.