Menteri nafi jualan Mara Digital Mall merosot, jamin sewa kekal

Seri-Ismail-Sabri-pic

KUALA LUMPUR: Menteri kemajuan luar bandar dan wilayah hari ini menafikan peniaga di Mara Digital Mall menghadapi masalah kemerosotan jualan dan kadar sewa bakal dinaikkan 5% November ini.

Sebaliknya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi jaminan kadar sewa di Mara Digital Mall dikekalkan dan kerajaan akan berusaha membantu usahawan Bumiputera di pusat teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) itu.

Katanya, beliau sendiri melawat Mara Digital Mall di ibu negara 2 hari lalu dan menemui peniaga yang kebanyakannya tidak menghadapi masalah dari segi jualan.

“Kedai ustaz sebelum makan tengah hari dah penuh. Tapi mungkin ada satu dua (kedai) jual komputer riba itu kerana dia kekurangan produk. Dari segi pilihan itu tak banyak mungkin.

Seri-Ismail-Sabri-pic1“Saya beritahu peniaga supaya lebih kreatif. Tambahkan dari segi produk mereka supaya banyak pilihan,” katanya selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara anak syarikat milik agensi di bawah kementeriannya di ibu negara hari ini.

Baru-baru ini, FMT melaporkan beberapa peniaga Mara Digital Mall di Kuala Lumpur mengeluh kadar sewa akan dinaikkan 5% November ini, ketika jualan mereka merosot sehingga 60% berbanding tahun pertama pusat ICT itu beroperasi.

Mengulas lanjut, Ismail berkata, pihaknya akan membantu peniaga Mara Digital Mall meningkatkan jualan mereka dengan melakukan promosi di media sosial dan papan iklan digital.

“Bulan ini pun kita ada 2 lagi program usaha sama dengan Acer. Kita pun tengah bincang dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Pada dasarnya, Menteri Wilayah Persekutuan (Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor) dah bersetuju Jalan Mara kita tutup Sabtu dan Ahad supaya kita boleh meriahkan Jalan Mara.

“Di antara Mara dan juga Pertama Complex, hujung minggu kita tutup, meriahkan dengan program anak muda dan sebagainya untuk kita bantu tingkatkan jualan di Mara Digital,” katanya sambil menambah penutupan jalan itu akan dimulakan selepas mendapat surat bertulis DBKL.

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan akan membuka Mara Digital Mall di Kuantan, Pahang dan Ipoh, Perak bulan depan.