Menteri: Tiada paksaan hantar calon PRU14 disaring SPRM

paul-low_sprm_600

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak memaksa parti pembangkang menghantar senarai bakal calon pilihan raya umum ke-14 (PRU14) mereka bagi tujuan saringan bebas rasuah dan salah guna kuasa, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low.

“SPRM sedang melakukan tugas mereka untuk menilai setiap calon PRU14 bagi memastikan mereka mempunyai tahap integriti tinggi.

“Langkah itu satu inisiatif dan kita tak perlu hentam mereka (SPRM). Ini dibuat secara sukarela dan mereka (parti politik) mempunyai pilihan,” katanya pada Hari Terbuka Integriti EAIC 2017 di Menara Usahawan, hari ini.

Semalam, Presiden Pakatan Harapan, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mempertikaikan kewajaran menghantar senarai nama cadangan calon yang akan bertanding pada PRU14 kepada SPRM.

Beliau mengakui pakatan pembangkang itu tidak berbuat demikian kerana mereka mempunyai cara tersendiri menyaring calon masing-masing.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pula berkata, parti Islam itu tidak berhasrat menyerahkan senarai bakal calon PRU14 kepada SPRM, memandangkan ia sudah memadai untuk Majlis Syura menyaring bakal calon mereka.

Kelmarin, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad dilaporkan berkata, hanya Barisan Nasional (BN) menyerahkan senarai nama cadangan calon untuk saringan bagi memastikan individu yang bakal diturunkan itu bebas rasuah, manakala parti pembangkang tidak pernah berbuat demikian.

Beliau memberi jaminan hasil saringan akan dirahsiakan dan terpulang kepada parti politik untuk mengambil tindakan lanjut.