MPK lulus pesta makanan minuman Jerman, larang guna ‘Oktoberfest’

Mohamad-Yasid-Bidin-Majlis-Perbandaran-Klang-Centro-German-F&B-PartyPETALING JAYA: Majlis Perbandaran Klang (MPK) meluluskan penganjuran pesta makanan dan minuman Jerman di daerah itu, tetapi melarang penganjur menggunakan perkataan “Oktoberfest”.

Yang Dipertua MPK, Datuk Mohamad Yasid Bidin dipetik Sin Chew Daily berkata, penganjur juga perlu mematuhi beberapa syarat, termasuk melarang kemasukan umat Islam ke kawasan penganjuran acara itu dan perlu mendapat permit atau kelulusan dari pihak lain seperti pejabat tanah, Jabatan Kastam dan polis.

“Centro German F&B Party” dijadual diadakan di pusat beli-belah berkenaan mulai 5 petang hingga 11 malam pada 12 dan 13 Oktober ini.

Katanya, walaupun mendapat bantahan 2 ahli MPK daripada PAS, iaitu Kahar Muzakkir Munawir dan Prasad Hanif dalam mesyuarat pihak berkuasa tempatan itu semalam, aktiviti berkenaan tetap diluluskan pihaknya.

Yasid dalam mesyuarat bulanan MPK semalam berkata, kelulusan itu diberikan kepada Centro Mall kerana ia adalah acara persendirian yang diadakan di premis persendirian dan turut mendapat sokongan sebahagian ahli MPK lain.

Centro Mall di Klang pernah mengadakan aktiviti seperti itu sejak beberapa tahun lalu, termasuk “Centro Mall Prost! German F&B Fest” pada Oktober 2016.

Hasil semakan di Facebook dan laman web Centro Mall bagaimanapun mendapati pusat beli-belah itu belum mempromosikan pesta berkenaan, setakat ini.

Pada 18 September lalu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menggunakan alasan “sensitiviti politik” untuk menolak permohonan MyBeer Malaysia untuk menganjurkan Festival Better Beer 2017 di Galeri Beli-belah Publika pada 6 hingga 7 Oktober ini.

Ia disusuli pengesahan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun pada 21 September lalu yang polis tidak menyokong penganjuran acara itu kerana mendapat maklumat wujud ancaman militan untuk mensabotaj festival itu dan beberapa pihak merancang menimbulkan kekacauan.

Baru-baru ini, Ahli Jawatankuasa Pusat PAS, Riduan Mohd Nor menyifatkan pesta arak itu sebagai “pesta maksiat” yang boleh menyebabkan Kuala Lumpur dikenali dunia sebagai pusat maksiat terbesar di Asia.

Beliau turut mempersoalkan jaminan keselamatan kepada orang awam yang tidak menyertai pesta itu daripada “jenayah, seks bebas, rogol dan lain-lain”.

Pesta itu pernah diadakan di Changkat Bukit Bintang, pada 2012 dan di Pusat Beli-belah Publika yang disertai 3,500 orang, tahun lalu.

Oktoberfest ialah festival bir selama 2 minggu yang diadakan setiap tahun di Jerman, pada akhir September dan awal Oktober.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/09/18/dbkl-tolak-permit-pesta-arak-di-solaris-damansara/

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/09/21/wujud-ancaman-militan-jika-festival-bir-diteruskan-kata-kpn/