Najib: Kesejagatan masa depan petani

najib-petaniKUALA LUMPUR: Petani kini boleh mengambil manfaat daripada kesejagatan untuk menjana pendapatan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Mengambil contoh durian yang dahulunya terhad kepada pasaran tempatan tetapi kini mendapat permintaan di luar negara, Najib berkata beliau juga bertanggungjawab membolehkan buah itu dieksport ke China.

“Saya minta durian diluluskan untuk eskport ke China semasa bertemu pemimpin mereka. Sekarang, petani boleh menjual buah itu pada harga yang lebih tinggi berbanding sebelum ini,” katanya dalam ucapan perasmian Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan 2017 hari ini.

“Saya pernah bertemu seorang ahli perniagaan yang memaklumkan permintaan untuk durian Musang King melebihi bekalan.”

Sebelum ini dilaporkan eksport durian Musang King ke China berjumlah RM60 juta tahun lepas dan dijangka mencecah RM70 juta pada 2017.

Najib menasihatkan petani dan nelayan supaya berfikir secara global, jika mahu memanfaatkan capaian yang lebih luas.

“Kita tidak boleh hanya jual di Pasar Tani yang terletak 1-2km dari rumah, sebaliknya kita perlu bercita-cita mahu menjual hasil tani ke pasaran dunia.

“Petani akan dapat banyak manfaat jika menjadi sebahagian daripada rantaian pembekal sejagat. Sebab itu kita perlu jalin hubungan serata dunia. Itu yang menjadi pertanian lebih menarik,” kata Najib.

Perdana menteri turut mengumumkan kerajaan menyasarkan pertanian dan perikanan sebagai bidang menghasilkan kekayaan di negara ini, di mana industri itu akan menghasilkan ramai jutawan.

Untuk itu, Najib berkata Laluan Kereta Api (ECRL) akan memberikan akses pasaran yang lebih baik kepada petani dan nelayan.

“Sistem pengangkutan yang cekap akan memanfaatkan petani dan nelayan dan mungkin akan menghapuskan orang tengah,” katnya, dan menambah perkara itu tidak pernah disebut pembangkang.

Sementara itu, Najib mengumumkan peruntukan RM7 juta sebagai bayaran sekali beri sebanyak RM30,000 kepada persatuan petani dan nelayan seluruh negara.