Pengurusan kes bunuh T Nhaveen ditetapkan pada 6 Disember

Mahkamah-Sesyen-T-Nhaveen-malaysia

GEORGE TOWN: Mahkamah Majistret hari ini menetapkan tarikh 6 Disember untuk pengurusan kes 4 remaja lelaki yang menghadapi pertuduhan membunuh mangsa buli T Nhaveen.

Timbalan Pendaftar Nurfadrina Zulkhairi menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Syafiq Mohd Sazali memaklumkan mahkamah pihaknya belum menerima laporan bedah siasat mangsa.

Pada prosiding hari ini, ibu Nhaveen turut hadir di mahkamah bagi mengikuti perkembangan kes bunuh anak lelakinya berumur 18 tahun itu.

Pada 19 Jun lepas, 4 remaja termasuk pelajar Tingkatan 4 dan 5 dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan membunuh Nhaveen.

J Ragesuthen,18, dan S Gokulan,18, serta 2 lagi remaja lelaki didakwa melakukan perbuatan itu secara bersama antara 11.00 malam hingga 12.00 tengah malam berhampiran Pusat Pembelajaran Karpal Singh, Jalan Kaki Bukit, Gelugor pada 9 Jun lepas.

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.