Sedih apabila PM terpaksa pertahankan KP Kastam walaupun layak

ramon-t-sobramaniam-3

PETALING JAYA: Kenyataan perdana menteri baru-baru ini yang beliau terpaksa melawan bantahan terhadap pelantikan Datuk Seri T Subromaniam sebagai ketua pengarah kastam adalah petanda buruk buat perkhidmatan awam, kata seorang bekas penjawat awam kanan.

Bekas ketua setiausaha Kementerian Pengangkutan, Tan Sri Ramon Navaratnam, mengulas kenyataan Datuk Seri Najib Razak di Mesyuarat Agung Tahunan MIC baru-baru ini, berkata ia menunjukkan bagaimana pelantikan yang sudah pun disokong ketua setiausaha negara dan ketua setiausaha perbendaharaan terpaksa dipertahankan.

“Malang sekali pihak tertentu cuba mencampuri urusan pelantikan,” kata Ramon kepada FMT.

“Fenomena ini perkara baharu yang tidak berlaku pada zaman saya.”

Beliau berkata campurtangan Najib serta “parti politik tertentu” menunjukkan perkhidmatan awam sudah tidak bebas seperti yang sepatutnya.

Ahad lepas, ketika berucap kepada perwakilan MIC, Najib berkata Subromaniam terpilih kerana beliau pegawai kanan kastam yang paling layak.

Namun Najib mendedahkan pelantikan Subromaniam itu menerima tentangan beberapa pihak.

Ramon berkata integritri perkhidmatan awam akan terjejas teruk jika ada campurtangan ahli politik dalam prospek kerjaya penjawat awam, terutamanya pegawai kanan.

“Keyakinan dan kepercayaan awam kepada perkhidmatan awam akan susut jika trend ini berterusan.”

Subromaniam, 58, mengambil alih jawatan ketua pengarah kastam dari Datuk Seri Khazali Ahmad pada 24 Mac. Sebelum itu beliau merupakan timbalan ketua pengarah kastam (penguatkuasaan dan pematuhan).

Beliau mempunyai 33 tahun pengalaman dalam perkhidmatan awam, dan memulakan kerjaya sebagai penguatkuasa kastam pada 1984.

Awal tahun ini, surat yang didakwa daripada sebuah NGO bernama Pertubuhan Kemanusiaan Antarabangsa Malaysia (MHO) mendakwa ia cuba melobi Yang di-Pertuan Agong supaya melantik seorang Melayu ke jawatan itu.

Setiausaha Agung MHO Datuk Hishamuddin Hashim bagaimanapun telah menafikan wujud petisyen sebegitu.